Haiwan peliharaan pun boleh diserang strok haba

Haiwan peliharaan pun boleh diserang strok haba

Tidak semua haiwan mempunyai ketahanan sama terhadap cuaca panas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cuaca panas yang melanda bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah turut menjadi ancaman senyap kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing, khususnya yang berbulu tebal.

Doktor perubatan veterinar, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, haiwan peliharaan lebih mudah terkesan terhadap suhu tinggi kerana mereka tidak mempunyai sistem penyejukan badan yang efisien seperti manusia.

“Kucing dan anjing hanya mempunyai sedikit kelenjar peluh yang terletak di bahagian tapak kaki, menyebabkan mereka tidak dapat menyejukkan badan melalui peluh dengan berkesan,” katanya kepada Seri.

Selain itu, haiwan juga tidak mampu menanggalkan lapisan bulu mereka seperti manusia menukar pakaian, sekali gus menjadikan haba lebih mudah terperangkap dalam badan.

Situasi menjadi lebih kritikal apabila haiwan dikurung atau diikat, sekali gus tidak mempunyai pilihan untuk bergerak ke kawasan lebih sejuk.

Risiko strok haba

Tambah beliau, keadaan ini boleh membawa kepada risiko serius seperti strok haba, iaitu peningkatan suhu badan secara melampau sehingga menjejaskan fungsi fisiologi dan berpotensi menyebabkan kegagalan organ dalaman.

Haiwan yang diletakkan di luar rumah dalam cuaca panas terik, terutama dalam sangkar, berisiko tinggi mengalami keadaan ini.

Suhu persekitaran yang tinggi tanpa pengudaraan baik boleh mempercepatkan peningkatan suhu badan haiwan.

Tambahnya, meletakkan sangkar berhampiran kompresor penghawa dingin juga bukan penyelesaian yang ideal.

“Walaupun terdapat aliran udara, ia tidak semestinya sejuk dan boleh menghasilkan haba serta bunyi yang mengganggu, sekali gus menjejaskan keselesaan haiwan,” jelasnya.

Tanda awal haiwan panas melampau

Pemilik perlu peka terhadap tanda awal tekanan haba seperti tercungap-cungap, gelisah, mencari tempat berteduh, air liur berlebihan, lidah dan gusi kemerahan, serta peningkatan kadar denyutan jantung.

Dalam kes lebih serius, haiwan boleh menjadi keliru, tidak sedarkan diri atau mengalami sawan.

Jika haiwan menunjukkan tanda-tanda tersebut, langkah pertama ialah memindahkan haiwan ke tempat lebih sejuk dan mempunyai pengudaraan baik.

Air perlu diberikan secara berhati-hati tanpa paksaan, diikuti kaedah penyejukan seperti menyiram air bersuhu bilik dan menggunakan kipas.

Namun begitu, penggunaan air terlalu sejuk perlu dielakkan kerana boleh mengganggu peredaran darah dan memburukkan keadaan.

Dalam masa yang sama, haiwan perlu segera dibawa ke klinik veterinar untuk rawatan lanjut.

Haiwan berisiko tinggi

Tidak semua haiwan mempunyai ketahanan sama terhadap cuaca panas.

Antara haiwan yang berisiko tinggi ialah yang obes, berbulu tebal, terlalu muda atau tua, serta baka bermuka penyek (flat face) seperti anjing Pug, Bulldog, Pekingese dan Boston Terrier, serta kucing Parsi, Exotic Shorthair dan British Shorthair.

Haiwan yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit jantung atau pernafasan juga lebih mudah terkesan.

Bagi memastikan keselesaan haiwan, pemilik disarankan menutup langsir pada waktu siang, membuka tingkap pada waktu malam bagi pengudaraan, menggunakan kipas ekzos, serta menyediakan air sejuk secara berterusan.

Kaedah lain termasuk meletakkan ais di hadapan kipas dan menggunakan lampu LED bagi mengurangkan haba dalam rumah.

Tanggungjawab dan kebajikan haiwan

Menurut Akta Kebajikan Haiwan 2015, pemilik bertanggungjawab memastikan haiwan mendapat persekitaran sesuai, makanan mencukupi, perlindungan daripada kesakitan serta keupayaan untuk hidup secara semula jadi.

Pengabaian kebajikan haiwan, termasuk membiarkan mereka terdedah kepada cuaca panas melampau, boleh dianggap sebagai kesalahan serius dan boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Dr. Wafaa menegaskan bahawa kesedaran pemilik adalah kunci utama dalam melindungi haiwan peliharaan ketika cuaca ekstrem.
Haiwan tidak mampu menyuarakan ketidakselesaan mereka, justeru pemilik perlu lebih peka dan bertanggungjawab memastikan keselamatan serta kesejahteraan haiwan sentiasa terpelihara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN