Mutasi baharu Covid-19, A701B dipantau  - Utusan Malaysia

Mutasi baharu Covid-19, A701B dipantau 

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mutasi baharu Covid-19 iaitu A701B yang dikenal pasti menerusi sampel Kluster Benteng LD di Sabah sedang dipantau bagi melihat kesannya membabitkan kebolehjangkitan dan keganasan wabak itu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mutasi baharu terbabit dikenal pasti menerusi hasil ujian  60 sampel satu kluster yang dikesan di Sabah.

Katanya, mutasi A701B ini dilaporkan dikesan di Singapura, Afrika Selatan, Australia dan Belanda. 

“Kita masih tidak pasti sama ada impak, kebolehjangkitan tinggi atau keganasan mutasi baharu itu. 

“Wabak Covid-19 sentiasa bermutasi maka pemantauan dilakukan untuk melihat impaknya kepada populasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Noor Hashim berkata,  pihaknya pernah memaklumkan kajian terhadap mutasi jenis DG14G yang dikenal pasti dalam Kluster Sivagangga di Kedah serta Johor Bahru dan Sabah. 

“Kajian mendapati kebolehjangkitannya lebih kurang 10 kali malah United Kingdom turut dilaporkan mengesan satu lagi varian baharu VUI 202012/01,” katanya. 

Dalam perkembangan sama ada kerajaan akan menilai semula tempoh kuarantin wajib ke atas pelawat asing susulan varian baharu Covid-19 dari United Kingdom, beliau berkata, tempoh kuarantin 10 hari dan 14 hari tidak mempunyai perbezaan. 

“Ini kerana kebanyakan kes yang dijangkiti virus mempunyai gejala atau boleh dikesan pada minggu pertama malah jika menggunakan kaedah tujuh hari kuarantin, risiko lebih tinggi. 

“Maka, kita ambil 10 hari dan melihat kepada kajian, tempoh 10 hari dan 14 hari adalah lebih kurang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya