PETALING JAYA: Pengalaman memisahkan antara beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin dengan gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang berjaya mengelak kejutan berulang pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, semalam.
Jaguh China itu kali ini berjaya membalas kekalahan mereka kepada Jimmy-Su Yin di Singapura, minggu lalu, apabila menang straight set 21-19, 21-18 dalam masa 45 minit di Istora Senayan.
Beregu muda negara yang baru digandingkan bersama jimmy-Su Yin itu, namun, masih memamerkan persembahan yang baik, cuma kesilapan sendiri semasa bermain di jaring telah menjadi antara penyumbang kekalahan mereka.
Jimmy berkata, kali ini, Yan Zhe-Dong Ping lebih bersedia bertemu dengan mereka dan pengalaman yang dimiliki beregu China itu telah memberi kelebihan ketika bermain di mata penting.
“Hari ini (semalam) pencabar kami lebih bersedia untuk bermain dan berpengalaman juga memisahkan kami terutamanya pada mata-mata wakil penting. Malah, mereka lebih konsisten berbanding kami,” kata Jimmy kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.
Menurut Jimmy, dia sedikit terkilan kerana kesilapan kecil yang berlaku telah menjadi punca kekalahan tetapi mereka bermain baik sepanjang perlawanan.
Sementara itu, Su Yin pula berkata, taktikal yang dia dan Jimmy cuba guna pakai tidak berapa menjadi kali ini dan lawan sudah boleh menghidu perancangan mereka.
Pemain berusia 22 tahun itu juga memberitahu, Dong Ping seorang pemain yang sangat bagus dan apabila berdepan pemain handalan China itu, mereka tidak boleh membuat silap serta perlu sentiasa memberikan permainan terbaik.
“Saya tewas hari ini, jadi itu bermakna saya perlu bekerja lebih keras lagi,” kata Su Yin sebelum ini berpasangan dengan Hoo Pang Ron.-UTUSAN










