Lulusan PhD pun jual kek cawan - Utusan Malaysia

Lulusan PhD pun jual kek cawan

SITI Hawa Abdullah (kiri) bersama kakaknya, Siti Mariam mempromosikan perniagaan kek cawan mereka iaitu Kek Cup Comei: Dr. Saab di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Status sebagai seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tidak meng­halang seorang guru untuk me­ngejar satu lagi cita-citanya yang belum tercapai iaitu menjadi usahawan berjaya.

Meskipun terpaksa bergelut dengan masa untuk menguruskan kedua-dua kerjaya secara serentak selain menguruskan keluarganya sendiri, Dr. Siti Hawa Abdullah, 36, tidak pernah mengeluh sebaliknya sentiasa positif dengan apa yang diusahakannya selama ini.

Ketika ini, anak kedua daripada lima beradik itu sedang gigih mempromosikan perniagaan kek cawan di bawah jenama Kek Cup Comei: Dr. Saab yang diwa­risi daripada keluarganya sejak 25 tahun lalu.

“Alhamdulillah, apa yang saya impikan sebelum ini (memiliki PhD dalam Bahasa Arab) telah tercapai dan kini saya berazam untuk menyambung semula im­pian ibu dalam memajukan perniagaan yang dipeloporinya sejak kami lima beradik masih kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Ketika ini, tiga adiknya termasuk kakak sulung mereka yang juga berkelulusan PhD iaitu Dr. Siti Mariam Abdullah, 38, turut sama membantu perniagaan itu khususnya dari segi kerja-kerja promosi dan pemasaran.

Selain Siti Hawa dan Siti Ma­riam, adik bongsu mereka, Siti Khadijah Abdullah, 29, juga sedang mengikuti pengajian di pe­ringkat ijazah kedoktoran dalam bidang seni kulinari dan perho­telan sekali gus dilihat bakal memberi nilai tambah kepada perniagaan kek cawan itu pada masa depan.

Dalam pada itu, ketika di­tanya mengenai sambutan terhadap perniagaan kek cawan yang menggabungkan nama ibu dan bapanya itu iaitu Salmah dan Abdullah, Siti Hawa berkata, dia dan beberapa pekerjanya kini tidak ‘menang tangan’ untuk menyi­apkan tempahan yang diterima.

“Sekarang secara puratanya, kami mampu menghasilkan sehingga 100 bekas kek sehari de­ngan setiap bekas mengandungi 33 biji kek cawan yang diadun dengan resepi turun-temurun dan dijual RM12 sebekas.

“Sasaran kami ialah untuk menggandakan pengeluaran kepada 200 bekas kek sehari selain meningkatkan bilangan ejen untuk memasarkannya,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu menambah, dia juga menya­sarkan untuk menambah varian kek cawan yang dijual ketika ini kepada perisa lain berbanding perisa oren asli ketika ini.

Siti Hawa yang kini sedang me­nunggu tawaran menjadi pensyarah di sebuah institut pendidikan guru (IPG) di sini turut memberitahu, jualan kek cawannya cukup memberangsangkan walaupun ketika pandemik Covid-19 apabila mampu dijual antara 50 hingga 70 bekas kek sehari.

“Sebenarnya, selain berniaga untuk meneruskan legasi yang dimulakan oleh ibu, saya dan adik-beradik yang lain juga berniat menjadikan perniagaan ini sebagai platform untuk membantu orang lain menjana pendapatan serta menyumbang kembali kepada pembangunan masyarakat.

“Setakat ini, kami bersyukur kerana segala usaha kami telah dipermudahkan,” katanya yang boleh dihubungi menerusi talian 011-59827669 atau laman Facebook, Drsaab dan kekcupcomei untuk keterangan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya