Kedah mahu perjanjian bekalan air 1985 dikaji semula - Utusan Malaysia

Kedah mahu perjanjian bekalan air 1985 dikaji semula

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah berpendapat perjanjian bekalan air antara negeri itu dan Pulau Pinang yang dimeterai pada 1985 perlu disemak semula berikutan peningkatan keperluan bekalan air di negeri terbabit.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semakan perjanjian bekalan air itu wajar  dilakukan selepas tercetus pertikaian berhubung masalah bekalan air di kedua-dua negeri.

“Merujuk kepada perjanjian 1985, persepakataan yang dicapai bertujuan menjamin bekalan air dari Ulu Muda di Kedah.

“Jaminan tersebut bermaksud  bekalan air kepada Pulau Pinang dan bukannya jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 9 Disember lalu melaporkan, kerajaan negeri Kedah tetap menuntut bayaran bekalan air mentah Sungai Muda daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menampung kos pemuliharaan kawasan tadahan air di negeri ini.

Sementara itu, kerajaan negeri Pulau Pinang pula menegaskan tidak akan membayar tuntutan RM50 juta caj sumber air mentah setahun yang dituntut kerajaan Kedah.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, keperluan untuk mengekalkan jaminan bekalan sumber air berterusan telah berubah mengikut keperluan dan permintaan bekalan air terawat berbanding  dalam tempoh  35 tahun lalu.

“Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul oleh Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah.

“Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah menambah, PBAPP patut membayar caj pengekstrakan air daripada sumber air mentah negeri Kedah agar manfaatnya dapat dikongsikan secara bersama bagi rakyat di kedua-dua negeri.

“Adalah tidak wajar Kedah perlu korbankan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran, sementara Pulau Pinang pula menikmati faedah dan keuntungan secara percuma,” ujarnya.

Beliau berkata,  kerajaan negeri diharapkan faktor-faktor berbangkit itu menjadi pertimbangan  kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membuat bayaran sewajarnya kepada Kedah.

“Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat menjadi fasilitator untuk menjayakan rundingan antara kedua-dua negeri dan agensi terbabit,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya