Kucing tidur lama bukan malas, tapi sifat semula jadi

Kucing tidur lama bukan malas, tapi sifat semula jadi

kucing perlu tidur selama 12 hingga 18 jam sehari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat kucing tidur hampir sepanjang hari sering membuatkan sesetengah pemilik beranggapan haiwan peliharaan mereka malas atau kurang aktif.

Namun, hakikatnya tempoh tidur yang panjang ini merupakan sebahagian daripada tingkah laku semula jadi kucing yang berkait rapat dengan cara hidup serta fisiologi mereka.

Pegawai veterinar dari Hospital Veterinar Universiti (UVH), Dr. Nor-Alimah Rahman berkata, kucing merupakan haiwan krepuskul, iaitu spesies yang paling aktif pada waktu senjakala seperti subuh dan senja.

Dalam habitat semula jadi, kucing menggunakan banyak tenaga untuk memburu, manakala selebihnya dihabiskan dengan berehat bagi menyimpan tenaga.

“Kucing peliharaan pada masa kini tidak lagi menjalankan aktiviti pemburuan secara aktif untuk kelangsungan hidup. Oleh itu, tempoh tidur mereka menjadi lebih panjang serta lebih ketara, terutamanya di antara waktu makan,” katanya kepada Seri.

Dari sudut fisiologi, kucing merupakan haiwan karnivor yang metabolisme badannya bergantung kepada protein.

Berdasarkan kajian oleh Verbrugghe dan Hesta (2017) dalam Veterinary Sciences, sebanyak 52 peratus tenaga kucing diperoleh daripada protein, 46 peratus daripada lemak dan hanya 2 peratus daripada karbohidrat.

Menurutnya, proses glukoneogenesis yang digunakan untuk menghasilkan tenaga memerlukan masa yang lebih lama bagi penggantian tenaga semula.

Keperluan tidur

Dr. Nor-Alimah berkata, secara umum, kucing memerlukan sekitar 12 hingga 18 jam tidur sehari. Walau bagaimanapun, tempoh ini tidak tetap dan boleh berubah mengikut beberapa faktor seperti umur, tahap aktiviti, status kesihatan serta persekitaran tempat mereka hidup.

Anak kucing dan kucing yang sudah tua lazimnya memerlukan masa tidur yang lebih panjang berbanding dengan kucing dewasa yang berada pada tahap paling aktif.

Bagi anak kucing, keperluan tidur boleh mencecah antara 16 hingga 20 jam sehari. Ini kerana beberapa bulan pertama kehidupan merupakan fasa pertumbuhan paling pesat yang melibatkan perkembangan fizikal, pembangunan sistem saraf serta pembentukan fungsi imuniti.

Pada tahap ini, sebahagian besar proses perkembangan tersebut berlaku ketika anak kucing sedang tidur.

“Kebanyakan proses perkembangan ini berlangsung ketika anak kucing sedang tidur,” jelasnya.

Sementara itu, kucing tua juga boleh tidur antara 16 hingga 20 jam sehari. Keadaan ini berlaku disebabkan perubahan semula jadi tubuh seperti metabolisme yang semakin perlahan, stamina yang berkurangan serta kesan penuaan yang menyebabkan mereka lebih banyak berehat.

Kajian oleh Bowersox, Baker dan Dement (1984) turut mendapati kucing tua mengalami lebih banyak episod terjaga dalam tempoh singkat, selain kurang tidur REM dan lebih banyak tidur bukan REM (NREM).

Tidur normal atau petanda sakit?

Walaupun tidur lama adalah normal, pemilik perlu mengetahui perbezaan antara tabiat tidur biasa dan perubahan yang mungkin menunjukkan masalah kesihatan.

Menurut Dr. Nor-Alimah, kucing yang berada dalam keadaan normal masih menunjukkan tingkah laku harian yang stabil seperti makan dan minum dengan baik, membersihkan serta menjilat badan, bergerak secara aktif dan bergaul seperti biasa.

“Jika aktiviti-aktiviti ini tidak terganggu, kebiasaannya tempoh tidur yang panjang bukanlah sesuatu yang membimbangkan,” katanya.

Namun begitu, terdapat pelbagai masalah kesihatan yang boleh menyebabkan kucing tidur secara berlebihan.

Antaranya ialah kesakitan pada sendi, khususnya dalam kalangan kucing tua.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus kucing tua yang mengalami sakit sendi akan cuba mengurangkan pergerakan dan lebih banyak tidur.

Selain itu, kucing juga boleh mengalami Feline Cognitive Dysfunction Syndrome (CDS), iaitu penyakit yang menyerupai demensia pada manusia.

Penyakit tersebut boleh menyebabkan tidur berlebihan, gangguan kitaran tidur dan berjaga serta menyebabkan kucing berbunyi kuat pada waktu malam atau senjakala dalam keadaan gelisah.

Pengaruh gaya hidup

Pemakanan dan gaya hidup turut memainkan peranan penting dalam menentukan corak tidur kucing.

Kucing peliharaan yang tinggal sepenuhnya di dalam rumah tidak lagi perlu keluar memburu makanan, sekaligus mempunyai lebih banyak masa lapang yang kebanyakannya diisi dengan aktiviti tidur.

Selain itu, kucing juga boleh dilatih atau dibiasakan dengan jadual pemakanan yang tetap bagi membantu membentuk rutin harian yang lebih teratur.

Ujarnya, penggunaan mesin penyedia makanan automatik yang dikawal mengikut waktu operasi boleh membantu menggantikan situasi “pemburuan” makanan, di samping memastikan waktu makan lebih konsisten tanpa mengganggu waktu rehat pemilik.

Bila perlu ke klinik?

Pemilik disarankan mendapatkan pemeriksaan veterinar sekiranya mendapati perubahan mendadak pada corak tidur kucing. Kebiasaannya, kucing akan mencari makanan selepas bangun daripada tidur.

Oleh itu, jika kucing kelihatan tidak bermaya, kurang responsif dan tidak berminat terhadap makanan yang dihidangkan, keadaan tersebut berkemungkinan menandakan masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan doktor veterinar.

Selain itu, kucing yang tidak sihat mungkin kelihatan tidak terurus dari segi keadaan bulu.

Ada juga yang menunjukkan perubahan tingkah laku seperti membuang najis di tempat yang bukan kebiasaannya.

Antara tanda lain yang perlu diberi perhatian termasuk kesukaran bernafas, warna membran mukosa yang pucat atau kekuningan, muntah, tahap tenaga yang rendah, bersembunyi serta mengelakkan diri daripada pergaulan biasa.

Dalam keadaan yang lebih serius, terdapat kucing yang menunjukkan kepenatan melampau secara tiba-tiba atau pengsan.
Keadaan kecemasan seperti ini mungkin berpunca daripada pendedahan kepada toksin atau sawan dan memerlukan rawatan segera di klinik veterinar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN