Jumlah ditahan ingkar SOP naik kepada 482 individu - Utusan Malaysia

Jumlah ditahan ingkar SOP naik kepada 482 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ke-177 di seluruh negara semalam menyaksikan lonjakan jumlah individu yang ditahan polis.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 482 individu ditahan kerana ingkar PKPP dengan tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Daripada jumlah tersebut, 438 individu dikompaun RM1,000, manakala 40 lagi direman dan baki empat orang pula dijamin,” kata beliau menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Sebahagian besar iaitu 137 individu kerana membuat aktiviti di pusat hiburan, gagal mematuhi penjarakkan fizikal (128) dan tidak menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (101).

Turut ditahan pihak polis ialah sejumlah 69 individu disebabkan melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (26) dan lain-lain (21).

Ini hasil Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang membuat 61,784 pemeriksaan semalam dan melibatkan 2,819 pasukan dengan melibatkan penyertaan 13,315 anggota.

“Mereka berjaya melakukan pemantauan di 3,600 pasar raya, 5,246 restoran, 1,692 penjaja, 1,268 kilang, 3,524 bank dan 540 pejabat kerajaan di seluruh negara,” tambah beliau lagi.

Di samping itu, pasukan berkenaan turut memantau sejumlah 970 terminal pengangkutan darat, 248 terminal pengangkutan air dan 75 terminal pengangkutan udara semalam.

Ismail Sabri juga memaklumkan 68 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam Operasi Benteng semalam selain 10 tekong dan tiga buah kenderaan darat dirampas.

“Sebuah bot juga disita dalam operasi itu bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19 oleh warga asing yang masuk secara haram,” katanya.

Dalam pada itu, dua tapak pembinaan lagi didapati tidak patuh peraturan dan diberi amaran daripada sejumlah 35 tapak diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Tidak ketinggalan ujarnya, 55 operasi sanitasi awam dibuat meliputi 15 zon merah, enam zon jingga, 14 zon kuning dan tiga zon hijau melibatkan 11 negeri dan dua wilayah persekutuan.

“Semalam juga, menyaksikan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan bekalan di 692 premis perniagaan.

Ia melibatkan 490 peruncit di samping pemborong (169) dan pengilang (33) yang secara keseluruhan jelasnya, barangan keperluan cukup menampung permintaan dan mudah diperoleh.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya