Jual bawang selepas diberhenti kerja - Utusan Malaysia

Jual bawang selepas diberhenti kerja

ARIFF Nur Ilham Nordin (kanan) dan rakan kongsinya, Hafiz Ershad Hussin mengusahakan perniagaan mengedar pelbagai jenis bawang dan barangan kering lain sejak empat bulan lalu selepas masing-masing terkesan dalam kerjaya mereka ekoran pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penularan wabak Covid-19 mengakibatkan ramai yang kehilangan pekerjaan terutama selepas majikan masing-masing terpaksa menutup perniagaan ataupun mengurangkan kos operasi mereka.

Keadaan itu tidak kecuali menimpa anak muda, Ariff Nur Ilham Nordin, 30 yang diberhentikan kerja sebagai pegawai pemasaran dalam talian di sebuah syarikat di Bangi, Selangor pada bulan Mac lalu.

Menurutnya, selepas diberhentikan kerja, dia mula mencari bidang yang boleh membawa sumber pendapatan serta tidak terkesan dengan situasi seperti Covid-19 yang menjejaskan banyak sektor ekonomi.

“Selepas diberhentikan kerja, saya pulang ke Seremban dan menetap kembali bersama keluarga dan kemudian membantu ibu menjual bubur lambuk. Jualan kami itu mendapat sambutan dan kami buat keputusan membuka sebuah kedai.

“Di situlah saya berkenalan dengan rakan kongsi saya sekarang, Hafiz Ershad Hussin, 30 yang turut membuka kedai makan di sebelah kedai makan ibu saya. Kebetulan dia juga mengusahakan perniagaan menjual bawang putih kopek. Daripada situlah timbul idea untuk kami terlibat dalam perniagaan menjual dan mengedar bawang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Tambah Ariff lagi, secara kebetulan juga, dia mempunyai seorang rakan yang dikenali semasa belajar di Australia yang mengusahakan dan mempunyai permit import bawang dan beberapa barang kering lain seperti kentang dan kacang tanah.

“Dia mengimport bawang dengan jenama Bawang King. Saya lihat perniagaan ini boleh pergi jauh, walaupun untungnya tidak banyak tetapi daripada segi jangka masa panjang, ia sangat berpotensi.

“Pasaran bawang juga besar kerana rakyat Malaysia menggunakan 40 juta tan bawang setahun. Jadi, saya dan Hafiz mengambil keputusan untuk menjadi pengedar Bawang King di Negeri Sembilan dan kini ia semakin mendapat sambutan dalam kalangan pemborong, kedai runcit dan kedai makan,” katanya.

Sementara itu, Hafiz Ershad berkata, selepas empat bulan, mereka berjaya mencatat nilai jualan sehingga RM40,000 sebulan.

“Alhamdulillah, sambutan amat baik, bawang ini keperluan dalam setiap rumah, setiap hari kita masak mesti pakai bawang jadi perniagaan ini baik untuk jangka masa panjang.

“Sekarang ini hanya kami berdua sahaja termasuk daripada segi penghantaran terus kepada pelanggan selain dibantu seorang pengedar. Memang menjadi hasrat kami untuk menambah pengedar bagi meluaskan lagi pasaran kami yang kini masih tertumpu di Seremban dan Senawang, selain itu kami juga berhasrat untuk mempunyai sebuah gudang yang lebih tersusun dan terurus,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya