Gangguan jin, syaitan tidak mudarat manusia - Utusan Malaysia

Gangguan jin, syaitan tidak mudarat manusia

ABDUL RAHMAN OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Umat Islam tidak perlu takut dengan gangguan ‘pengetuk misteri’ kerana kejadian itu boleh disebabkan perbuatan makhluk lain yang tidak nampak seperti iblis, jin dan syaitan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, iblis, jin dan syaitan yang menjadi ‘hantu’ itu tidak sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia.

Beliau menjelaskan, sebagai makhluk Allah SWT, iblis, jin dan syaitan juga mempunyai perasaan sangat takut kepada manusia.

“Kerana itu, adalah sesuatu yang menghairankan apabila manusia pula yang takut kepada jin atas dasar takut kepada hantu.

“Apa yang kita perlu lakukan adalah ‘hiasi’ rumah dengan ibadah, sentiasa baca al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) yakin gangguan ketukan misteri di lima negeri di beberapa kawasan perumahan sejak pertengahan bulan lalu bukan kerja manusia sebaliknya dilakukan makhluk halus, jin atau syaitan.

Sehingga kelmarin, Pahang negeri kelima yang penduduknya diganggu ketukan pintu tengah malam dan dinihari, selepas isu sama melanda Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dan Johor.

Berkongsi dengan Mingguan Malaysia, Pengerusi Darussyifa’, Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung gangguan misteri berkenaan di beberapa kawasan dan setakat ini mendapati tiada kelibat lembaga, entiti atau kesan tapak kaki.

Mengulas lanjut, Dr. Abdul Rahman berkata, jika umat Islam hanya ‘menghiasi’ rumah dengan mendengar muzik, tidak membaca al-quran, solat sunat, ia akan mendorong kepada gangguan jin, syaitan dan iblis.

“Umat Islam tidak perlu takut dengan gangguan jin dan syaitan ini. Jika kita sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT, insya-Allah kita tidak akan diganggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN