Usahawan kosmetik, adik jadikan Malaysia transit sebelum dadah dihantar ke negara lain - Utusan Malaysia

Usahawan kosmetik, adik jadikan Malaysia transit sebelum dadah dihantar ke negara lain

Arjunaidi Mohamed (tengah) menunjukkan barang rampasan kes pada sidang akhbar berhubung kejayaan JSJN di Auditorium, Tingkat 1, Menara 1, IPK Selangor pada hari ini. - UTUSAN/ Zulfadhli Zaki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri yang ditahan bersama adiknya dalam satu serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan Selasa lalu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum mengedarkan bekalan barang terlarang itu ke negara jiran.

Dalam serbuan kira-kira 4.30 petang itu, kedua-dua mereka yang berusia  25 dan 31 tahun itu, ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina bernilai kira-kira RM5 juta.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan tersebut melibatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang.

Menurutnya, hasil serbuan, pihaknya telah menahan dua lelaki warga tempatan menaiki kereta Ford Mustang dan menemukan dadah jenis syabu dalam bungkusan teh Cina.

“Hasil siasatan, telah membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 32 hingga 43 tahun di kawasan yang sama. Dua warga tempatan terbabit merupakan ahli sindiket ini manakala lelaki warga asing yang pasportnya telah tamat tempoh dipercayai orang tengah bagi urusan jual beli dadah.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau.

“Kita turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV dalam serbuan kedua ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, siasatan lanjut mendapati, dadah jenis syabu itu diseludup dari negara jiran seterusnya melalui Pantai Timur ke Pantai Barat sebelum diedarkan ke negara jiran lain.

“Hasil siasatan mendapati Ford Mustang yang dianggarkan bernilai RM500,000 didaftarkan di bawah nama isteri kepada adik ahli perniagaan itu yang juga seorang anggota tentera.

“Berdasarkan dadah yang dirampas, kita percaya ia mampu membekalkan kepada 253,700 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kiraan penggunaan 0.5 gram,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa hadapan bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.