Lelaki mengaku tidak bersalah curi 1.4 kilogram emas - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku tidak bersalah curi 1.4 kilogram emas

TENG Wei Kiang berdepan 35 pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah melibatkan emas bernilai RM385,400 di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang jurujual emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 35 pertuduhan mencuri emas dengan anggaran berat kira-kira 1.4 kilogram, tahun lalu.

Tertuduh, Teng Wei Kiang, 33, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Arun Noval Dass.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai jurujual emas di sebuah syarikat telah melakukan pecah amanah ke atas emas anggaran berat 1.4 kilogram berharga kira-kira RM385,400 dengan menyalahgunakannya untuk kegunaan sendiri di lapan kedai pajak sekitar Kluang dan Batu Pahat antara Oktober 2025 hingga bulan ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak lebih daripada 14 tahun dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Aizuddin Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam, N. Moganeysha.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Moganeysha bagaimanapun memohon jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan isteri selain menjaga ibu bapanya yang uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 bagi setiap kes dengan dua penjamin tempatan serta syarat tambahan selain memerintahkan sebutan semula kes pada 25 Jun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN