ARAU : Insiden berbalas tembakan dengan penyeludup sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan Selasa lalu merupakan ‘wake-up call’ kepada seluruh sistem kawalan sempadan negara ini.
Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Prof. Madya Dr. Mizan Mohammad Aslam berkata, kerajaan terpaksa mengakui bahawa kelemahan pengurusan sempadan sejak sekian lama yang akhirnya bukan sahaja menyebabkan kehilangan pendapatan negara, malah mengakibatkan kehilangan nyawa.
Katanya, sejak pendedahan kubur besar di Wang Kelian pada tahun 2015, disusuli dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan isu tersebut, namun masih tiada kertas putih atau pembaharuan dilakukan.
Sehubungan itu katanya, sudah tiba masanya pembaharuan sepenuhnya terhadap sistem kawalan sempadan negara dilakukan bagi mengekang jenayah rentas sempadan ini.
“Antaranya ialah pembinaan pagar yang lebih sempurna dan mempunyai ketinggian yang tidak mampu ditembusi oleh penjenayah atau penyeludup. Pagar sempadan juga seharusnya dilengkapi teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dan lain-lain. Malah liputan berkaitan juga boleh disambungkan ke pihak tentera, polis dan agensi-agensi berkaitan.
“Selain itu, kita perlu menyediakan zon penampan di sepanjang kawasan sempadan dan dikawal oleh tentera kedua-dua negara. Zon selamat ini seharusnya dikawal 24 jam oleh pihak keselamatan terdiri dari pelbagai agensi seperti yang diamalkan pada masa ini.
“Penggiliran tugas perlu dilakukan dengan lebih kerap bukan sahaja melibatkan anggota rendah, malah pegawai atasan juga. Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu ditempatkan di agensi-agensi kawalan sempadan jika diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Mizan Mohammad, pasukan keselamatan yang terlibat dengan kawalan sempadan walaupun unit risikan perlu dibekalkan dengan senjata berat kerana pelbagai risiko mungkin terjadi.
Katanya, penjenayah akan melakukan serangan apabila terancam hingga sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan.
“Selain itu, ‘alert’ sistem pantas kepada pusat-pusat kawalan perlu diberikan dan dibangunkan. Penggunaan dron peninjau dan lain-lain instrumen keselamatan adalah keperluan yang mendesak ketika ini,” katanya.
Antara lain katanya, pemakaian kamera badan juga dilihat menjadi keperluan buat masa ini dan ianya mestilah dipantau oleh pasukan khas di pusat kawalan.
“Semakan semula terhadap undang-undang yang berkaitan sempadan dan jenayah di sempadan juga perlu lebih ketat dan mencakupi seluruh sistem. Sudah sampai masanya reform terhadap ketum juga dilakukan agar jenayah ini dapat ditangani. – UTUSAN










