KUALA LUMPUR : Peruntukan Intensif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak RM 300 juta dalam Belanjawan 2021 wajar ekoran penularan Covid-19 dan penyusutan harga getah pada masa kini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata, paras harga pengaktifan IPG bagaimanapun tetap sama pada RM2.50 sekilogram.
Katanya, selain itu aplikasi RRIMNiaga yang akan diwajibkan kepada peraih Januari tahun depan dapat membantu sektor komoditi itu berada dalam paras terbaik.
” RM300 juta kita mohon pada kerajaan kerana diandaikan tahun depan Covid-19 masih menular dan harga masih rendah.Sebab itu kita memerlukan tambahan IPG.
” Selain itu Januari 2021 kita wajib guna aplikasi RRIM yang secara automatiknya permintaan getah sudah tentu meningkat. Strategi jangka masa panjang bukan sahaja bergantung pada IPG tapi kita perkenalkan getah krip untuk tingkatkan pengeluaran getah,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) berkenaan strategi kementerian meningkatkan harga lantai getah.
Dalam pada itu Khairuddin berkata. langkah kerajaan mewajibkan penggunaan sistem RRIMNiaga bermula 1 Januari 2021 dapat memudahkan penyaluran IPG tanpa proses permohonan manual.
“IPG adalah mekanisme sokongan harga ladang dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram getah sekerap atau RM6.10 sekilogram getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20.
” Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, sebanyak RM149 juta telah dibelanjakan untuk membiayai tuntutan IPG. Kita juga turut menggalakkan amalan integrasi di kalangan pekebun kecil untuk mendapatkan pendapatan sampingan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE-










