Polis tingkat kawalan kawasan rumah terlibat banjir - Utusan Malaysia

Polis tingkat kawalan kawasan rumah terlibat banjir

ABDUL Majid Mohd. Ali (dua dari kanan) memeriksa pengenalan diri pengguna jalan raya dalam sekatan jalan raya di persimpangan Kampung Portugis, Ujong Pasir, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kawalan pencegahan jenayah di lokasi terlibat banjir di ketiga-tiga daerah dalam negeri ini akan dipertingkatkan terutamanya membabitkan kediaman mangsa yang ditinggalkan kerana terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, sekumpulan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, IPD Jasin dan IPD Alor Gajah sudah digerakkan sejak Khamis apabila banjir melanda beberapa kawasan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang awam yang terjejas dengan banjir yang tidak pulang ke rumah untuk memberi makluman kepada pihak polis bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan.

“Mereka boleh memaklumkan terus kepada anggota polis yang ditempatkan di kesemua PPS yang beroperasi selain berkunjung ke balai-balai polis yang terdekat dalam kawasan masing-masing.

“Saya juga sudah maklumkan kepada ketiga-tiga Ketua Polis Daerah (KPD) agar mereka bukan sahaja membantu melancarkan urusan pemindahan mangsa tetapi melihat juga elemen pencegahan jenayah semasa musim banjir ketika ini,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Ujong Pasir, malam tadi.

Setakat ini, seramai 394 orang penduduk ditempatkan di tujuh buah PPS di ketiga-tiga daerah apabila banjir melanda kediaman masing-masing sehingga paras 0.5 meter sejak Khamis malam. 

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid turut mengingatkan masyarakat supaya terus mengekang Covid-19 daripada terus merebak dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu berakhir semalam. 

Katanya, sepanjang PKPB dilaksanakan dari 9 hingga 20 November di negeri itu, sebanyak 38,210 permohonan rentas negeri yang diluluskan manakala 202 telah ditolak kerana tidak mematuhi arahan PKPB serta tiada alasan kukuh.

Tambah beliau, sebanyak 181,148 kenderaan juga diperiksa di SJR di ketiga-tiga daerah sepanjang tempoh itu dengan 806 kenderaan diarah berpatah balik.

“Sebanyak 12,341 pemeriksaan premis bagi pematuhan PKPB telah dilakukan yang menyaksikan 38 tangkapan dilakukan kerana melanggar SOP serta 125 kompaun dikeluarkan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, sebanyak enam SJR akan diteruskan secara mobile dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini berbanding 12 SJR sepanjang PKPB lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya