BAITULMUQADDIS: Israel pada Jumaat memaklumkan seorang tenteranya maut dalam pertempuran di selatan Lubnan, menjadikan jumlah korban di pihaknya kepada 20 anggota sejak perang dengan Hizbollah bermula awal Mac lalu.
Menurut kenyataan tentera Israel, Sarjan Staf Negev Dagan, 20, terkorban ketika pertempuran di selatan Lubnan, tanpa memberikan maklumat lanjut.
Sejak perang bermula, 19 anggota tentera Israel dan seorang kontraktor awam dilaporkan terbunuh.
Tentera Israel turut menggesa penduduk lima kampung di selatan Lubnan supaya segera berpindah pada Jumaat menjelang serangan yang dijangka dilancarkan terhadap Hizbollah.
Tindakan itu dibuat walaupun gencatan senjata dengan Lubnan sepatutnya menghentikan pertempuran.
“Susulan pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Hizbollah, tentera pertahanan terpaksa bertindak tegas terhadapnya.
“Demi keselamatan anda, anda mesti meninggalkan rumah dengan segera dan menjauhi kampung serta bandar sekurang-kurangnya sejauh 1,000 meter,” kata jurucakap bahasa Arab tentera Israel, Avichay Adraee menerusi platform X sambil menyenaraikan lima kampung berhampiran bandar Tyre di pesisir selatan Lubnan.-AFP










