fbpx

Pertimbang semula gabungan bersama Bersatu

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cadangan UMNO dan Pas bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dibincangkan secara mendalam agar cadangan gabungan besar atau politik besar tidak tunduk kepada satu-satu pihak. 

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, penyatuan yang dibuat berasaskan kesempatan semasa tanpa keikhlasan biasanya tidak akan berkekalan dan akan merugikan.

“Oleh itu, UMNO perlu berwaspada dan berhati-hati jika berniat untuk mengadakan kerjasama dengan parti tersebut. 

“Contohnya, Langkah Sheraton Mac lalu, kita perlu melihat sebarang hubungan atau penyatuan yang dibuat, perlulah berasaskan sebab yang tulen dan ikhlas, bukannya kerana kesesuaian politik segelintir pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook hari ini. 

Terdahulu, Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan pembentukan gabungan politik besar membabitkan parti-parti politik yang menolak Pakatan Harapan (PH) termasuk Bersatu. 

Dalam pada itu, Isham berkata, ramai ahli UMNO daripada akar umbi sehinggalah ke peringkat kepimpinan tertinggi yang berpengalaman dan baharu telah memberi gambaran tidak bersetuju dengan penyatuan itu. 

“Sekiranya hubungan dengan Bersatu dipaksa juga, ini akan memecah belahkan UMNO daripada dalam.

“Apa guna kita bergabung dengan orang lain jika disebabkan gabungan tersebut rumah tangga kita sendiri akan berpecah belah. Malah, sekiranya penyatuan dengan Bersatu hanya untuk menang bergaya dalam PRU-15, pandangan seperti itu amat jauh tersasar. 

“Jika UMNO berpecah belah, kita akan kalah sebelum pergi berperang. Bagaimana kita mahu pergi berperang dan berjuang jika askar-askar di lapangan tidak percaya atau was was kepada motif dan arah tujuan peperangan tersebut,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE