MELAKA: Para peniaga dan duta kecil industri pelancongan di negeri ini berharap Belanjawan 2021 dapat membantu memulihkan sektor tersebut yang menjadi nadi utama pendapatan mereka.
Baik daripada pengusaha restoran ikan bakar, pengayuh beca mahu pun peniaga kraf tangan, mereka cuma mengharapkan kedatangan pelancong ke bandar raya bersejarah ini kembali mencatatkan jumlah yang tinggi bagi menyokong kelangsungan segmen itu.
Pengurus Ikan Bakar Parameswara di Umbai, Hasry Effendy Abu Hasan berkata, mereka bukan sahaja sedang membina kembali perniagaan yang terjejas sejak Mac lalu, tetapi pada masa sama berusaha memastikan operasi terus bertahan sepanjang mengharungi pandemik Covid-19.
“Sektor perniagaan di Melaka amat berkait dengan pelancongan, seperti restoran atau kedai makan kami bergantung kepada kedatangan pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada pelancong luar.
“Sekiranya sektor pelancongan tidak berada di landasan asal, sampai bila-bila pun kami akan berdepan kesukaran. Jadi apa yang diharapkan pada Belanjawan 2021 adalah tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara bagi merancakkan kembali pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat esok dikhabarkan akan memberi tumpuan kepada empat tema iaitu mengambil peduli terhadap rakyat, kehidupan yang mampan, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dan memacu ekonomi.
Sementara itu, seorang pengayuh beca muda, Shazan Amir Zahedy, 18, pula berharap, kerajaan dapat mengumumkan sesuatu yang menggembirakan golongan seperti mereka sebagai sokongan untuk terus bergiat dalam industri pelancongan.
“Kami sudah tersepit sejak beberapa bulan lalu hingga kini apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, tiada apa yang diharapkan melainkan apa sahaja bentuk bantuan daripada kerajaan dalam Belanjawan 2021,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA), Zohaime Muhamad Sori, kerajaan juga diminta untuk melihat kekangan yang dialami pengusaha di luar bandar.
“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang bentuk bantuan dan itu memberi kesukaran kepada kebanyakan daripada kami yang kini nyawa-nyawa ikan, apatah lagi sepanjang Covid-19, pelancong tidak dibenarkan mengambil pakej homestay.
“Hal ini kerana konsep homestay sedikit berbeza disebabkan ia melibatkan ‘host family’ yang menyaksikan pelancong akan menginap dan menjalankan aktiviti bersama keluarga itu. Jadi, disebabkan arahan tersebut, kebanyakan pengusaha kini tiada pendapatan seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










