Muzium KTMB dedah 3 istilah nadir pekerjaan jarang didengar - Utusan Malaysia

Muzium KTMB dedah 3 istilah nadir pekerjaan jarang didengar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Muzium Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mula mendedahkan tiga pekerjaannya yang dianggap amat jarang ada di negara ini dan juga paling nadir didengar.

Menerusi kenyataan ringkas melalui akaun media sosial KTMB semalam, tiga pekerjaan itu yang memang pun wujud dalam syarikat rel tersebut ialah merinyu, ‘gangmen’ dan pelansir.

“Hello Malaysia! Pernah dengar merinyu ‘gangmen’ dan pelansir? Pertama kali dengar? Khas untuk semua, kami kongsi bersama anda tiga pekerjaan yang jarang didengar ini,” katanya.

Daripada tiga istilah nadir itu, perkataan merinyu pernah popular digunakan dalam agensi penguatkuasaan pada suatu ketika dahulu dan kemudian ia diganti dengan frasa inspektor.

Merinyu masih digunakan KTMB hingga kini dan menurut Kamus Pelajar Dewan, ia bererti pemeriksa atau penyelia, tetapi bagi operator rel itu, ia juga dikenali sebagai juruteknik awam.

Uniknya, kenyataan KTMB itu turut memaklumkan bahawa istilah merinyu ialah kakitangan yang bertanggungjawab khusus untuk tugas memeriksa dan menyelia landasan kereta api.

Sementara ‘gangmen’ pula kelihatan agak pelik kerana memang tiada dalam Kamus Dewan, namun KTMB merujuk pekerjaan secara berkumpulan ini sebagai penyelenggara landasan.

Sesuai dengan perkataan itu yang telah diserap dalam istilah bahasa Melayu dan dieja geng, mereka ini bukanlah pula kumpulan yang melakukan sesuatu pekerjaan jahat bersama-sama.

Sebaliknya, KTMB menjelaskan ‘gangmen’ di syarikat itu bertugas membaiki dan mengganti komponen landasan yang rosak dalam kelompok kebiasaannya antara 10 hingga 20 orang.

Manakala pelansir juga agak janggal sebab istilah ini hanya digunakan Kamus Besar Bahasa Indonesia yang bermaksud orang yang melansir dan daripada kata dasar kerja iaitu lansir.

Di republik itu, pelansir bererti penyiar, tetapi KTMB pula merujuk daripada bahasa Inggeris iaitu shunter yang mungkin difahami sebagai penyambung atau penukar gerabak kereta api.

Kenyataan KTMB menambah, pelansir ialah kakitangan yang bertanggungjawab melakukan kerja penyusunan gerabak, koc atau lokomotif sama ada di stesen, depoh atau bengkel.

Hantaran terbaharu yang dimuat naik pihak pentadbir KTMB itu menerima reaksi positif dari netizen tempatan apabila menerima lebih 100 tanda suka selain dikongsi hampir 100 kali. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya