MBM desak platform e-dagang henti jual mainan seks - Utusan Malaysia

MBM desak platform e-dagang henti jual mainan seks

JUFITRI Joha (dua kanan) menyerahkan surat gesaan kepada Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Yunus Tasim (dua kiri) mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan produk tembakau, permainan dan aksesori seks (sex toys) yang dijual secara terbuka dan berleluasa di pasaran di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) sedia bertemu pihak penyedia platform e-dagang terkenal bagi desak dihentikan segera penjualan permainan seks secara terbuka atas talian.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, mereka akan berbincang dengan pihak Lazada dan Shopee yang dilihat masih lagi bebas promosi produk aksesori itu menerusi platform masing-masing.   

“Kita (MBM) tidak halang sesiapa pun hendak jual produk melalui wadah popular berkenaan, namun jangan pula mengambil peluang ini untuk tawar apa sahaja sesuka hati,” kata beliau.

Jufitri ditemui media selepas menghantar memorandum badan itu kepada Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Perdagangan, Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Yunus Tasim.

Beliau kemudian turut menyerahkan memorandum mengenai isu penjualan produk tembakau kepada Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Kesihatan, Za’aba Abu Bakar di sini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun; Ketua Aktivis MBM, Fahami Ashraf Badaruddin dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Mohamed Naseer Mohamed.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, kebanyakan barangan tidak bermoral itu diimport dari luar dengan harga murah dan tanpa kawalan waima dapat dibeli golongan bawah umur 18 tahun.

“Kami menerima banyak aduan daripada komuniti yang prihatin dengan isu ini dan setelah disemak, memang benar ia dijual begitu sahaja bebas di platform media sosial,” kata beliau.

Apa yang menghairankan ujar Jufitri, belum ada tindakan yang diambil pihak berkuasa bagi mengekang aktiviti peniaga terbabit meskipun ia jelas menyalahi Akta Jualan Langsung 1993.

Begitu juga penjualan produk tembakau termasuk cerut yang jelas dapat dilihat melalui wadah e-dagang, walhal ia adalah dilarang keras di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Kami berharap pihak kerajaan dapat bertindak tegas kerana mereka semakin berani dan jika dibiarkan, dibimbangi meningkatkan gejala sosial dan jenayah seksual remaja,” katanya lagi.

Jufitri menambah, pihaknya mungkin memohon bantuan kerjasama bekas pemimpin MBM sendiri yang kini menjadi anggota jemaah Kabinet bagi membawa isu itu ke peringkat atasan.

Antaranya Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah, jika pihak terbabit enggan tarik balik kempen penjualan produk seks dan tembakau menerusi platform e-dagang.

“Kami mahu mengingatkan peniaga ini bahawa mereka masih ada tanggungjawab sosial dan bukan ambil kesempatan merosakkan moral masyarakat demi keuntungan diri,” tegasnya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya