Lelaki parah ditetak dua lelaki bertopeng - Utusan Malaysia

Lelaki parah ditetak dua lelaki bertopeng

KEADAAN mangsa yang parah ditetak dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Teluk Intan semalam. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki parah akibat ditetak dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Taman Fajar, Jalan Kampung Banjar di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa berusia 46 tahun mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tulang peha dan tulang siku kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kejadian berlaku ketika lelaki itu selesai membeli barang dari kedai tersebut sebelum dihampiri dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta jenis Honda City.

Katanya, dua lelaki memakai topeng dan berpakaian gelap itu telah meluru ke arah mangsa sambil masing-masing memegang sebilah parang sepanjang 60 sentimeter.

“Mangsa berlari masuk ke dalam kedai untuk menyelamatkan diri namun telah terjatuh di ruang tengah kedai. 

“Dua lelaki bertopeng itu kemudiannya menetak mangsa beberapa kali di bahagian tangan dan kaki menggunakan parang sebelum melarikan diri menggunakan kereta Honda City berwarna kelabu,” katanya di sini hari ini.

Anuar berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Katanya, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka kesan tetakan senjata tajam di lengan kanan dan peha kanan serta luka pada siku kiri serta lutut kiri. 

“Hasil pemeriksaan x-ray mendapati mangsa mengalami patah tulang siku kiri dan tulang pengumpil lengan kiri dan kanan serta patah tulang peha kanan,” katanya.

Menurut beliau, semakan ke atas kenderaan berkenaan mendapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan kedua-dua suspek berkenaan.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata,” katanya.

Terdahulu, rakaman kejadian itu tular di media sosial yang menunjukkan mangsa berlari masuk ke dalam kedai sambil dikejar dua suspek dengan beberapa pelanggan lain berlari keluar untuk menyelamatkan diri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya