PETALING JAYA: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mengakui prestasinya masih jauh daripada tahap sebenar, meskipun berjaya membawa pulang pingat emas di Kejohanan Olahraga Terbuka New Taipei, Taiwan, kelmarin.
Menurut Jonah, walaupun tidak dapat melakukan sasaran seperti yang dimahukannya namun dia tetap bersyukur dengan kejayaan tersebut.
“Apa penting saya bersyukur sebab dapat pingat emas, saya tak jangka benda ini sebab badan terasa sangat penat. Jika dilihat keputusan hari ini, semua orang tak berada di tahap terbaik. Kira saya bertuah jugalah,” katanya.
Dalam kejohanan tersebut, balingan emas Jonah dilakukannya sejauh 18.28 meter (m) berbanding sebelum ini, dia membuat lontaran 18.81m sekaligus memperbaharui rekod kebangsaan di Asian Throwing Championship di Korea Selatan, bulan lalu.
Jonah turut mengakui catatan semasanya masih belum cukup untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Asia dan memerlukan peningkatan besar dalam beberapa siri kejohanan seterusnya.
Sementara itu, atlet tukul besi lelaki negara, Sadat Marzuqi Ajisan mengakui berpuas hati dengan kejayaannya memenangi pingat emas di kejohanan tersebut selepas melakukan balingan sejauh 65.24m sekali gus mengatasi jangkaan sebenar.
“Keputusan ini memang tidak dijangka. Sasaran berikutnya saya nak cuba buat balingan yang lebih baik. Sasaran saya adalah nak pecahkan rekod kebangsaan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin meraih gangsa di Liese Prokop Memorial dekat St. Polten, Austria dengan catatan 59.08m, sekali gus menjadi pencapaian terbaiknya musim ini.- UTUSAN










