PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini lebih tegas dalam ‘memburu’ peminjam culas termasuklah mengheret mereka ke mahkamah tanpa berkompromi.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan lebih tegas itu diambil bagi membolehkan pihaknya mendapatkan semula dana pinjaman diberikan supaya dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan.
Katanya, beliau tidak kisah sekiranya peminjam culas mahu menuduhnya tidak berhati perut atau apa sahaja namun pendirian ‘kamu pinjam, kami bayar’ tetap akan diteruskan.
“Ada yang tergamak menuduh saya dan Mara menggadai perjuangan Melayu dan tidak berhati perut kerana sanggup mendakwa mereka di mahkamah.
“(Tetapi) sebab hendak tolong lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang memerlukanlah, saya dan Mara kena lebih tegas mengejar mereka yang culas dalam membayar balik hutang perniagaan mahupun pendidikan Mara,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau turut memberikan contoh dengan dana pinjaman berjumlah RM500,000 daripada peminjam boleh menampung ramai pelajar miskin melanjutkan pengajian.
“Cuba bayangkan dengan mendapatkan balik (dana pinjaman) RM500,000 daripada seorang peminjam, Mara boleh tanggung 15 ke 20 orang pelajar miskin dan masukkan mereka dalam bidang TVET di Institusi Pendidikan Mara.
“Lagipun Islam jelas meletakkan asas penting bahawa hutang wajib bayar,” katanya.
Beliau turut berkongsikan hadis Nabi Muhammad SAW berkaitan Allah SWT akan membantu sesiapa saja yang meminjam dengan niat membayar semula namun sekiranya sebaliknya, dia akan dibinasakan.
Mengikut rekod, pada tahun 2025, jumlah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) yang ditanggung Mara mencecah 49.6 peratus iaitu bernilai RM893 juta.
Manakala, setakat Oktober 2024 seramai 97,866 daripada 197,348 peminjam aktif telah disenarai hitam kesan gagal melunaskan komitmen pinjaman. – UTUSAN










