Kukuhkan kerjasama Malaysia-Thailand atasi isu penyeludupan - Utusan Malaysia

Kukuhkan kerjasama Malaysia-Thailand atasi isu penyeludupan

Dr. Azmi Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengukuhkan hubungan dengan pihak berkuasa Thailand yang dilihat memainkan peranan besar dalam menangani penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa asing (PATI) di sempadan kedua-dua negara.

Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, perkara itu boleh dilihat menerusi hubungan erat pihak berkuasa Malaysia dengan Singapura sehingga menyebabkan aktiviti penyeludupan dan PATI sukar menembusi sempadan Johor-Singapura.

Justeru, katanya, hal keselamatan sempadan perlu ditangani secara holistik dan memerlukan penglibatan secara bersama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar apabila melibatkan negara asing.

“Jika diperhatikan kenapa mudah PATI menyeludup masuk ke negara dari Mindanao, Filipina atau Sumatera, Indonesia adalah kerana longgarnya kawalan di negara jiran.

“Bukan sahaja kerjasama antara agensi penting dalam hal keselamatan sempadan, tetapi kerjasama dengan negara jiran adalah kritikal terutama dalam hal perkongsian maklumat risikan kerana aktiviti di sebelah Thailand hanya diketahui oleh pihak berkuasa sebelah sana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas seruan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang perlunya kawalan sempadan seluruh negara diperkukuhkan melalui penglibatan bersepadu semua agensi dan tidak boleh lagi hanya bergerak secara silo.

Ini selepas tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) diserang ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini, dengan seorang anggota cedera di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan seorang lagi maut di Padang Besar, Perlis.

Azmi juga berpendapat tembok sempadan wajar dibina bagi menghalang kemasukan PATI atau penjenayah asing, kerana terdapat lokasi sempadan yang mudah lolos dengan hanya perlu memotong pagar berdawai.

“Sebab itu penting juga digunakan teknologi pemantauan seperti kamera selain tembok batu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×