Koperal Baharuddin, Norihan tidak pakai jaket kalis peluru ketika penyamaran, risikan - Utusan Malaysia

Koperal Baharuddin, Norihan tidak pakai jaket kalis peluru ketika penyamaran, risikan

ACRYL Sani Abdullah (tengah) menyaksikan serah terima tugas di antara Mazlan Santarai (kiri) kepada Mior Faridalathrash Wahid di Ipoh, Perak hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terbabit dalam insiden tembakan di pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar semalam tidak memakai jaket kalis peluru kerana dalam tugas penyamaran dan risikan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketika kejadian, kedua-dua anggota terbabit juga hanya dibekalkan pistol Walter P99.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP), semua anggota keselamatan yang bertugas semasa rondaan dikehendaki memakai baju kalis peluru dan dilengkapi peralatan.

“Bagaimanapun, ketika kejadian mereka berdua adalah anggota risikan yang sedang membuat ‘undercover’ jadi dalam keadaan tersebut mereka tidak memakai jaket kalis peluru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak antara Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai dan Ketua Polis Perak yang baharu, Datuk Mior Faridalathrash Wahid di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul  3.10 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar.

Ketika kejadian, Baharuddin sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang turut terkena tembakan dan mengalami kecederaan parah.

Menurut Acryl Sani, selepas insiden pertama April lalu, pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) telah membuat kajian untuk melihat dan meneliti semula SOP yang dikuatkuasa kini sama ada perlu penambahbaikan.

Katanya, kajian teliti berkaitan SOP itu bagi memastikan keselamatan pegawai dan anggota bertugas sentiasa terjamin.

“Kita akan kaji semula sama ada perlu perketatkan lagi bagi memastikan bahawa SOP yang digunakan dalam tugas rondaan dan risikan serta pencegahan dapat diperkemas untuk memastikan keselamatan pegawai dan anggota bertugas di samping orang awam,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, permohonan untuk mendapatkan 36 kereta perisai (APC) baharu telah dikemukakan bagi menggantikan kenderaan APC sedia ada yang sudah usang dan tidak sesuai untuk digunakan lagi.

Katanya, kenderaan tersebut bagi melaksanakan tugasan rondaan di kawasan sempadan Kedah, Perlis, Kelantan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Selepas kita membuat lawatan dan tinjauan, kita mendapati bahawa memang wujud ancaman terhadap keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas di sepanjang laluan keselamatan di sempadan berkenaan.

“Jadi, dari situ kita sangat memerlukan kenderaan ini kerana ancaman oleh pihak yang sentiasa terbabit dengan kegiatan jenayah ini semakin hari semakin bertambah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.