KBS komited bantu belia berniaga - Reezal Merican

KBS komited bantu belia berniaga – Reezal Merican

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kerjasama rentas kementerian komited untuk terus membantu dan menjadi pelengkap kepada inisiatif membantu golongan belia yang berniaga.

KBS adalah antara 14 Kementerian terbabit sama dalam melaksana program keusahawanan bagi memberikan bimbingan dan sokongan strategik menyokong belia dalam ekosistem ekonomi pasca Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama tersebut menawarkan pelbagai manfaat kepada belia menerusi perancangan platform holistik bersama kementerian dan agensi terbabit.

Katanya, dalam usaha membantu melonjakkan ekonomi belia berniaga, pelbagai inisiatif diusahakan antaranya termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Prihatin PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej KITA Prihatin.

“Seramai 308,668 belia berniaga mendapat manfaat membabitkan peruntukan lebih RM1.1 bilion.

“Ini adalah inisiatif tambahan kepada pelbagai strategi dan langkah yang diterajui oleh kementerian dan agensi kerajaan yang lain untuk membantu dan melonjakkan semula sektor perniagaan, termasuk dalam kalangan belia berniaga,” katanya dalam satu sesi soal jawab Parlimen dikemukakan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara kementerian dan agensi terbabit bagi Kerjasama Rentas Kementerian adalah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Kerjasama antara KBS dan MEDAC melahirkan Program Pencetus Usahawan iaitu program di bawah Kerjasama Strategik dilaksanakan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (Insken).

“Kira-kira 300 pegawai KBS akan menjalani latihan pembangunan keusahawanan di Insken bagi mengembangkan kapasiti dan kemampuan pegawai bagi membantu usahawan belia.

“Kerjasama KBS dengan KKMM pula menghasilkan program myGIG bertujuan menyokong pembabitan belia dalam ekonomi digital. Sehingga kini, hampir 2,000 belia mendapat manfaat melalui bantuan perkakasan, latihan serta kemahiran yang diperlukan,” katanya.

Katanya, program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota bersama Kementerian Wilayah Persekutuan menyediakan kios atau ruang niaga untuk 1,000 usahawan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Hampir 80 peratus daripada permohonan diterima adalah daripada golongan belia. Program ini masih dalam fasa akhir bagi pemilihan usahawan.

“Selain itu, program KBS bersama PUNB bakal menjadi landasan untuk membantu golongan belia berniaga sekali gus meningkatkan potensi diri serta mengoptimumkan perkembangan ekonomi.

“Kerjasama dijalankan dengan Akademi Pembangunan Belia Malaysia Batu Gajah (APBMBG) bagi program Business Consultation dapat memberi fokus terhadap bimbingan usahawan belia untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, program keusahawanan dipelopori KBS tetap diteruskan antaranya kursus teknikal belia tani, inisiatif TVETPRENEUR di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan Pelaksanaan inisiatif Bisnes Orang Muda membabitkan program pembangunan kapasiti merangkumi kursus pendek dikendalikan pakar industri dan menarik minat lebih 1,443 belia.

“Bagi memudahkan belia mengakses segala inisiatif dijayakan pihak kerajaan, KBS sedang menerajui pembangunan Single Landing Page sebagai pusat sehenti dikenali sebagai Sistem MyBelia.

“Sistem ini menyediakan maklumat bersepadu berkaitan inisiatif disediakan pihak kerajaan dan bukan kerajaan dapat memberikan manfaat kepada belia.

“Antaranya termasuk peluang pekerjaan; penciptaan pekerjaan; latihan dan kemahiran serta dana dan kemudahan ditawarkan atau dilaksanakan oleh pelbagai agensi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya