Kaut jutaan ringgit hasil penipuan SMS - Utusan Malaysia

Kaut jutaan ringgit hasil penipuan SMS

Tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sasar pengguna telefon kad pra-bayar bagi mengaut keuntungan jutaan ringgit sejak lima tahun lalu.

Itu kegiatan yang dilakukan tiga pengarah syarikat termasuk dua antaranya bergelar Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes memberi suapan kepada pegawai-pegawai syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan sistem perkhidmatan ringkas (SMS).

Tangkapan ini dilakukan lanjutan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menahan tujuh individu pada Julai lalu membabitkan pengarah syarikat dan kakitangan teknikal di tiga buah syarikat lain.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan memanipulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit dengan caj bayaran yang tidak disedari pengguna.

Kata sumber, syarikat-syarikat berkenaan akan menyediakan perkhidmatan SMS content services provider iaitu penghantaran SMS berbayar kepada pemegang telefon bimbit di seluruh negara.

“Syarikat ini kemudiannya dipercayai akan menghantar SMS berbentuk promosi atau untuk perkhidmatan tertentu kepada pelanggan tanpa persetujuan.

“Pengguna akan dikenakan caj bayaran tertentu bernilai 50 sen hingga RM4 setiap SMS yang dihantar tanpa disedari mereka,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, berikutan penahanan kesemua suspek berusia antara 41 hingga 48 tahun itu, SPRM kini sedang mengenal pasti beberapa pegawai kanan di syarikat telekomunikasi yang bersekongkol dengan tiga syarikat dengan menerima suapan selepas membekalkan maklumat pelanggan kepada sindiket.

Sumber berkata, beberapa dokumen kewangan di ketiga-tiga syarikat berkenaan turut dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

“SPRM masih meneliti dokumen-dokumen berkenaan bagi mendapatkan jumlah sebenar yang mereka perolehi hasil aktiviti tersebut dan setakat ini tiada pembekuan akaun dilakukan,” ujarnya.

Terdahulu, perintah tahanan reman telah dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini selepas membenarkan permohonan SPRM reman kesemua suspek selama lima hari bermula hari ini hingga 14 November depan.

Kesemua suspek tiba di Kompleks Istana Kehakiman kira-kira pukul 10.45 pagi diiringi pegawai SPRM selepas mereka ditahan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara pukul 9 hingga 11 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Terbaru, seorang pengarah kanan syarikat telekomunikasi ditahan SPRM berhubung kes berkenaan dan ditahan reman hari ini -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya