Dua lagi direman kes dadah RM6.58 juta - Utusan Malaysia

Dua lagi direman kes dadah RM6.58 juta

SALAH seorang daripada dua lagi lelaki yang ditahan membabitkan kes rampasan dadah bernilai RM6.58 juta pada 2 September lalu dibawa keluar daripada Mahkamah Kangar, Perlis hari ini selepas mendapat perintah reman selama tujuh hari.- FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua lagi lelaki direman tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan berhubung rampasan dadah bernilai RM6.58 juta di Felda Rimba Emas, Padang Besar, yang juga rampasan terbesar di negeri ini pada 2 September lalu.

Kedua-dua mereka dibawa ke mahkamah pada pukul 9.37 pagi dan 9.41 pagi sebelum dibawa keluar kira-kira pukul 10.08 pagi.

Lelaki pertama yang berusia 21 tahun itu ditahan di pagar sempadan Kampung Mukim Kolam, Padang Besar pada pukul 1.25 petang semalam.

Sementara itu, seorang lagi yang berusia 31 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Mata Ayer, Padang Besar kira-kira pukul 2 petang hari sama.

Tangkapan tersebut melibatkan suspek baharu dalam kes tersebut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.

Pada 2 September lalu, Polis Perlis mematahkan sindiket dadah terbesar di negeri ini selepas menahan tiga lelaki termasuk dua beranak dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Rimba Emas, Padang Besar.

Dalam serbuan pukul 12.15 pagi itu, polis merampas 126 ki­logram syabu dan 100 kilogram ganja yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM6.58 juta.

Dua beranak itu ditahan membabitkan lelaki berusia 43 tahun dan 16 tahun manakala seorang lagi yang ditahan adalah rakan kepada anak lelakinya juga remaja berusia 16 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya