KUALA LUMPUR: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan rakyat Malaysia lain akan terus memboikot produk Perancis sekiranya tiada permohonan maaf daripada Presiden negara itu, Emmanuel Macron.
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, langkah itu sebagai protes terhadap tindakan ekstrem yang dilakukan Presiden Perancis sehingga mengganggu gugat sensitiviti umat Islam berhubung kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, DPIM mengecam ucapan Emmanuel Macron berkaitan perkara iu yang merupakan kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab.
“Ia hanya mewujudkan ketegangan dalam kalangan masyarakat dunia malah dilihat mempromosikan ketakutan kepada Islam. Sesungguhnya ini adalah tindakan yang tidak dapat diterima dan tidak sepatutnya datang daripada seseorang yang bergelar Presiden,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan majalah Charlie Hebdo mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW, yang menjadi punca serangan daripada penembak beragama Islam terhadap akhbar berkenaan pada 2015.
Ia sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam kerana menimbulkan kebencian, dan ketidakharmonian antara kepercayaan yang berbeza.
“Kami menyeru supaya semua umat Islam di seluruh dunia untuk bersatu-padu dengan mengutuk kenyataan Macron dan mendesak agar beliau membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan beliau,” tegasnya. – UTUSAN










