ARAU : Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion yang terbesar pernah diperuntukan kerajaan setakat ini diakui memberi manfaat kepada rakyat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Namun, belanjawan yang disifatkan cukup penting ketika semua lapisan masyarakat terjejas berikutan pandemik Covid-19, nasib golongan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20) seolah-olah terpinggir daripada mendapat manfaat belanjawan tersebut.
Dua perkara yang dilihat cukup dinantikan oleh golongan tersebut dalam pembentangan Belanjawan 2021 iaitu pengeluaran Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium secara automatik namun kemudahan tersebut hanya diberikan secara bersasar khususnya kepada B40.
Itupun perlu dilakukan secara permohonan kepada bank sama ada ingin melanjutkan penangguhan pembayaran pinjaman selama tiga bulan atau enam bulan jika bersetuju membayar 50 peratus ansuran bulanan.
Menyentuh soal itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, lanjutan moratorium itu sepatutnya dilaksanakan secara menyeluruh supaya golongan M40 dan T20 boleh bersama-sama menyumbang kepada pendapatan negara melalui perbelanjaan.
Malah katanya, dalam kalangan M40 juga berdepan kesempitan hidup berikutan Covid-19 khususnya bagi yang tinggal di bandar-bandar besar sekali gus sangat berharap agar ada berita gembira untuk mereka dalam Belanjawan 2021.
Namun katanya, apa yang diharapkan golongan tersebut tidak berlaku sedangkan M40 dan T20 antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara yang sepatutnya tidak boleh dipinggirkan.
“Kita tidak nafikan Belanjawan 2021 cukup baik dalam membantu golongan B40 dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) meneruskan kesinambungan hidup dalam keadaan serba mencabar ini.
“Namun, ia sepatutnya lebih menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan M40 terutama pemberiam moratorium dan pengeluaran KWSP bagi Akaun 1 yang dilihat antara boleh memberi manfaat kepada golongan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Rusdi, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan agar lanjutan moratorium dan pengeluaran KWSP bagi Akaun 1 itu turut melibatkan golongan M40. – UTUSAN










