Bekas CEO, isteri mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Bekas CEO, isteri mengaku tidak bersalah

LEE Son Hong (depan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini bagi 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah bernilai RM145.4 juta tujuh tahun lalu. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar sarung tangan getah, WRP Asia Pasific Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah jenayah bernilai RM145.4 juta tujuh tahun lalu.

Turut didakwa di mahkamah sama adalah isterinya bekas Ketua Pegawai Eksekutif itu atas tuduhan bersubahat dengan melibatkan jumlah RM108 juta bagi tempoh sama.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Datuk Lee Son Hong dan Datin Too Sooi Keng masing-masing berusia 63 mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Son Hong yang kini masih lagi pengarah syarikat tersebut didakwa atas tiga pertuduhan iaitu membuat tuntutan palsu melibatkan jumlah RM8.4 juta atas nama Tower Success Group Ltd. berkaitan pembayaran bagi pembekalan mesin membuat sarung tangan yang tidak pernah dibuat antara 27 Mac hingga 22 Disember 2015.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit bersalah.

Bapa kepada dua anak itu turut didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dengan lapan pertuduhan iaitu melakukan pecah amanah jenayah berjumlah lebih RM137 juta antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018.

Mengikut seksyen ini, jika sabit bersalah, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagi Sooi Keng pula, dia yang juga salah seorang pengarah syarikat tersebut didakwa atas tujuh pertuduhan bersubahat dengan suaminya dengan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana syarikat RM108 juta antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018.

Dalam pertuduhan yang dibacakan berasingan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 409 kanun yang sama yang turut memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit bersalah.

Pasangan suami isteri terbabit didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat syarikat tersebut di kawasan perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dekat sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mengendalikan kes Son Hong dan Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar bagi kes Sooi Keng masing-masing menawarkan ikat jamin kepada tertuduh RM2 juta dan RM1.5 juta selain dengan seorang penjamin warganegara serta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Menurut mereka, jumlah ikat jamin yang dicadangkan berpatutan kerana kedua-dua tertuduh mempunyai sumber pendapatan daripada perniagaan yang lain.

Bagaimanapun, peguam mewakili kedua-dua tertuduh iaitu Datuk D. Senthinathan, P.G Cyril dan Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor memohon wang jaminan dikurangkan kepada anak guam kerana pendapatan mereka terjejas akibat Covid-19.

Hakim Rozilah menetapkan kedua-dua mereka masing-masing diikat jamin RM1.5 juta dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan.

Untuk rekod, WRP Asia Pasific Sdn. Bhd. yang tersenarai dalam Bursa Malaysia pernah diserbu SPRM Jun lalu berkaitan penyelewengan dana selain menjadi tumpuan kerana tidak membayar gaji kira-kira 2,000 pekerjanya selama tiga bulan pada Januari tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya