SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM22.4 juta bagi menyalurkan bantuan infrastruktur kepada 740 sekolah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu digunakan untuk penambahbaikan tahap infrastruktur sedia ada termasuk penyelenggaraan dewan dan pembelian perkakas.
Menurutnya, semua bantuan itu mula diagihkan sejak 2 November lalu dan dijangka selesai pada 15 Disember depan.
“Sebanyak 538 sekolah agama rakyat menerima manfaat daripada sumbangan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM9.1 juta.
“Selain itu, bantuan disalurkan kepada 101 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berjumlah RM6 juta manakala RM2 juta bagi empat Sekolah Menengah Persendirian Cina,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Amirudin, sebanyak 83 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) turut menerima bantuan berjumlah RM4.3 juta.
“Kerajaan negeri juga menyalurkan sumbangan itu kepada 14 sekolah lain terdiri daripada Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.
“Semua sekolah itu melibatkan agihan berjumlah RM1 juta,” ujarnya.
Tambahnya, bantuan itu akan membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar sekolah di seluruh negeri ini.
“Langkah ini selaras dengan keutamaan yang signifikan diperuntukkan untuk pendidikan dalam Belanjawan Selangor 2021,” katanya. UTUSAN ONLINE