Agihan bukan lagi berasaskan kaum - KPM - Utusan Malaysia

Agihan bukan lagi berasaskan kaum – KPM

MOHD. RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menetapkan agihan penyelenggaraan untuk semua sekolah di seluruh negara akan dibuat lebih telus, tidak lagi seperti sebelum ini yang berasaskan kaum.

Menteri Pendidikan, Dr. Radzi Jidin berkata, sebanyak RM800 juta peruntukan keseluruhan akan digunakan untuk tujuan tersebut dengan RM620 juta untuk sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

“Asas perkiraan adalah berdasarkan purata daripada peruntukan RM620 juta bagi 10,223 buah sekolah, iaitu RM60,648 setiap sekolah.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna kita beri sejumlah wang itu kepada setiap sekolah. Mereka perlu memohon seperti biasa dan kita akan teliti permohonan,” katanya.

Sehingga kini, Radzi berkata, terdapat 10,223 sekolah di bawah pengendalian kementerian yang terdiri daripada 8,293 sekolah kerajaan dan 1,930 sekolah bantuan kerajaan.

Jenis sekolah bagi kedua-dua kategori itu meliputi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sekolah Mubaligh, Sekolah Conforming (sekolah menengah jenis kebangsaan) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Tambahnya, kementerian turut akan meneliti keadaan sekolah di seluruh negara dan jumlah peruntukan penyelenggaraan yang perlu diberi berdasarkan siling agihan penyelenggaraan.

“Kita melihat keadaan sekolah di seluruh negara dan bagaimana kadar penyelenggaraannya. Kita juga akan mencari apakah formula lebih menyeluruh dan melihat jumlah sekolah.

“Sebab itu dalam konteks ini, ianya berdasarkan jumlah sekolah. Kita tekankan pada kerajaan untuk menyelenggara sekolah kerajaan, dalam masa yang sama bantuan boleh diberi kepada sekolah bantuan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Radzi berkata, dalam menggunakan formula itu, siling peruntukan bagi jenis sekolah adalah RM477.48 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah kerajaan termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.

“Sementara RM74.07 juta bagi SJKC kerajaan dan bantuan kerajaan; SJKT kerajaan dan bantuan kerajaan RM29.98 juta; serta Sekolah Mubaligh kerajaan dan bantuan kerajaan RM20.94 juta.

“Selain itu, Sekolah Conforming kerajaan dan bantuan kerajaan akan menerima RM4.11 juta dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sebanyak RM12.23 juta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN