Umat Islam di Malaysia perlu bersatu - Utusan Malaysia

Umat Islam di Malaysia perlu bersatu

TOSRIN JARVANTHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masyarakat Islam di negara ini perlu bersatu dalam segala perkara termasuk bagi mempertahankan agama dan meningkatkan syiar Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, jika berlaku sebaliknya, masyarakat Islam akan mengalami kehancuran sekiranya pemimpin politik terus menerus berebut kuasa dan jawatan.

“Ini waktunya umat Islam di negara ini bersatu dan buang kepentingan dan perbezaan politik sejauh-jauhnya bagi manfaat bersama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sumbangan fidyah kepada anak-anak yatim dan miskin dalam jagaan keluarga Johor di sini.

Turut hadir, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ, Khirul Nizam Mat Said.

Tosrin memberitahu, MAINJ mengagihkan sejumlah RM476,300 hasil kutipan fidyah kepada 4,763 anak yatim di seluruh negeri ini.

Menurutnya, Bahagian Baitulmal berjaya mengutip hasil wang amanah fidyah melepasi sasaran RM3 juta iaitu sebanyak RM5.3 juta untuk dimanfaatkan golongan asnaf sebagai nilai tambah daripada bantuan yang sedia ada sepanjang tahun ini.

“Walaupun kutipan zakat semakin bertambah, jumlah penerima bantuan juga turut meningkat ekoran ketidakketentuan ekonomi semasa akibat pandemik Covid-19 serta peningkatan kos sara hidup.

“MAINJ antara badan berkanun yang dipertanggungjawabkan kerajaan negeri untuk menyelaras, menyelenggara serta memberi bantuan kepada golongan daif termasuk dari sumber hasil bayaran fidyah umat Islam di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, pungutan fidyah itu dikutip menerusi kaunter zakat di seluruh negeri sebelum disimpan dalam sebuah akaun Khas Fidyah di bawah kelolaan Bahagian Baitulmal MAINJ untuk diagihkan kepada golongan fakir dan miskin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya