Iraola sah pengendali baharu Liverpool

Iraola sah pengendali baharu Liverpool

Andoni Iraola
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool mengumumkan pelantikan Andoni Iraola sebagai pengurus baharu mereka bagi menggantikan Arne Slot yang dipecat susulan kegagalan mempertahankan kejuaraan liga musim ini.

Jurulatih dari Sepanyol berusia 43 tahun itu dilaporkan menandatangani kontrak selama dua tahun selepas muncul sebagai calon pilihan utama pengurusan kelab untuk mengemudi era baharu di Anfield.

Dalam kenyataan pertamanya, Iraola mengakui sukar menolak peluang mengendalikan salah satu kelab terbesar dunia yang memiliki sejarah, penyokong dan budaya bola sepak yang unik.

“Liverpool adalah Liverpool. Anda tidak memerlukan banyak sebab untuk tertarik dengan kelab ini. Peluang melatih pemain bertaraf dunia dan bersaing merebut trofi menjadikan tawaran ini amat istimewa,” katanya.

Pelantikan Iraola dilihat sebagai usaha Liverpool mengembalikan identiti permainan agresif dan berintensiti tinggi yang pernah menjadi kekuatan utama pasukan ketika era Jurgen Klopp.

Sepanjang tiga musim bersama Bournemouth, Iraola berjaya mengubah pasukan itu menjadi pencabar yang disegani apabila membawa mereka menamatkan saingan di tangga ke-12, kesembilan dan keenam EPL, sekali gus melayakkan kelab berkenaan ke saingan Liga Europa buat kali pertama dalam sejarah.

Sebelum mencipta nama di England, Iraola pernah membimbing Rayo Vallecano, Mirandes dan Larnaca.

Sebagai pemain, Iraola merupakan legenda Athletic Bilbao dengan lebih 500 penampilan sebelum menamatkan kariernya bersama New York City FC dalam saingan MLS.

Dia kini berdepan tugas mencabar untuk mengembalikan Liverpool ke landasan kemenangan selepas pasukan itu mengharungi musim mengecewakan apabila menamatkan saingan di tangga kelima liga dan gagal memenangi sebarang trofi.

Pelantikan Iraola turut disambut positif oleh penyokong yang mengharapkan sentuhan taktikalnya mampu mengembalikan kegemilangan The Reds dalam saingan domestik dan Eropah. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN