Israel serang Lubnan walaupun ada gencatan senjata bersyarat - Utusan Malaysia

Israel serang Lubnan walaupun ada gencatan senjata bersyarat

DELEGASI kedutaan Israel, Lubnan dan AS menghadiri rundingan dianjurkan Jabatan Negara di Washington semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel dan Lubnan bersetuju melaksanakan gencatan senjata, namun menyatakan pelaksanaannya memerlukan penghentian sepenuhnya serangan oleh Hizbollah yang disokong Iran, menurut kenyataan bersama selepas rundingan diketuai Amerika Syarikat (AS) di Washington.

Bagaimanapun, Israel melancarkan serangan ke atas selatan Lubnan pada Khamis dan mengancam untuk melakukan serangan baharu ke atas Beirut. Ia berlaku walaupun beberapa jam sebelum itu diumumkan bahawa Israel dan Lubnan telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bersyarat.

Wakil Israel dan Lubnan mengadakan pusingan keempat rundingan di Washington pada Rabu dan bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang bergantung kepada kumpulan bersenjata  disokong Iran, Hizbollah, menghentikan serangannya.

Pada masa yang sama, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, operasi ketenteraan akan diteruskan di selatan Lubnan.

Hizbollah telah membawa Lubnan ke dalam konflik Asia Barat yang lebih luas selepas pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan AS dan Israel pada 28 Februari. 

Kumpulan itu berikrar akan terus berjuang walaupun kerajaan Lubnan sedang berusaha melucutkan senjatanya.

Walaupun perjanjian dicapai di Washington, Katz berkata, tentera Israel masih mempunyai kebebasan bertindak, dengan sokongan AS untuk melancarkan serangan di Beirut sebagai tindak balas terhadap sebarang tembakan yang menyasarkan komuniti dan wilayah Israel

Kedua-dua pihak dijadual mengadakan rundingan lanjut bermula 22 Jun dengan tujuan mencapai perjanjian menyeluruh.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau mahu memisahkan rundingan mengenai konflik di Lubnan daripada rundingan berkaitan perang dengan Iran.

Bagaimanapun, Teheran menyatakan kedua-dua konflik saling berkaitan dengan Menteri Luar, Iran, Abbas Araghchi memberi amaran sebarang serangan ke atas Beirut akan mencetuskan penyambungan semula perang secara besar-besaran.

Gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran di Lubnan sepatutnya berkuat kuasa pada 17 April. Namun, ia tidak pernah benar-benar dipatuhi apabila kedua-dua pihak terus mempertahankan serangan masing-masing dengan mendakwa pihak lawan melanggar perjanjian.

Pegawai kanan Hizbollah, Mahmud Qomati, memberitahu AFP pada Selasa, kumpulan itu tidak akan menerima gencatan senjata separa. 

Kedua-dua pihak, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, turut bersetuju mewujudkan ‘zon perintis’ di mana angkatan tentera Lubnan akan mengambil kawalan eksklusif ke atas wilayah berkenaan tanpa kehadiran mana-mana kumpulan bukan negara.

Perkembangan itu berlaku walaupun serangan rentas sempadan berterusan dengan Hizbollah mendakwa menyasarkan tentera Israel. Serangan Israel juga mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang di selatan Lubnan.

Beberapa jam selepas perjanjian diumumkan, siren amaran serangan udara dibunyikan di utara Israel susulan pengesanan sasaran udara mencurigakan, namun tiada korban dilaporkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN