MONTE CARLO: Grand Prix (GP) Las Vegas akan terus menjadi sebahagian daripada kalendar Formula Satu (F1) sekurang-kurangnya sehingga musim 2037 selepas penganjur mencapai persetujuan lanjutan kontrak selama 10 tahun.
Pengumuman itu dibuat menjelang GP Monaco sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Las Vegas sebagai antara destinasi utama perlumbaan F1 di Amerika Syarikat (AS).
Perlumbaan sulung di bandar yang terkenal sebagai pusat hiburan dan perjudian itu berlangsung pada 2023 dan sejak itu berjaya menarik ratusan ribu pengunjung setiap kali dianjurkan pada November.
Menurut penganjur, GP Las Vegas telah menjana lebih AS$3 bilion (RM12.06 bilion) impak ekonomi kepada selatan Nevada sepanjang tiga edisi penganjurannya. Aksi jentera F1 yang memecut di sepanjang Las Vegas Strip yang dihiasi cahaya neon turut menjadi antara imej paling ikonik dalam sukan permotoran dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali berkata, pihaknya gembira dapat meneruskan perlumbaan itu untuk tempoh yang lebih panjang.
“Kami sentiasa yakin Las Vegas akan menjadi tunjang utama kehadiran F1 di AS. Lanjutan perjanjian ini membuktikan kejayaan yang dicapai sejak beberapa tahun lalu serta mengukuhkan komitmen jangka panjang kami terhadap pasaran penting ini,” katanya.
Setakat ini, Max Verstappen muncul juara GP Las Vegas sebanyak dua kali iaitu pada 2023 dan 2025, manakala George Russell menjuarai edisi 2024 yang berlangsung penuh dramatik.
Bagaimanapun, keputusan perlumbaan pada 2024 tidak menghalang Verstappen daripada merangkul gelaran juara dunia pemandu buat kali keempat berturut-turut.
Edisi keempat GP Las Vegas dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 November 2026 dan akan menjadi pusingan ke-20 daripada 22 perlumbaan dalam kalendar F1 musim 2026. – AFP










