Tiada jaminan pendekkan masa operasi tak kena Covid-19 - Utusan Malaysia

Tiada jaminan pendekkan masa operasi tak kena Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengusaha premis perkhidmatan makanan dan barangan runcit akur sekiranya kerajaan bersetuju memendekkan tempoh operasi bagi kedai serbaneka dan restoran sehingga pukul 12 malam jika itu yang terbaik untuk semua pihak dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib berkata, dalam keadaan wabak yang belum menunjukkan perkembangan positif, had operasi sehingga pukul 12 pagi sudah memadai.

“Apa sahaja dasar kerajaan laksanakan kami terima dan rasanya kami boleh memanfaatkan waktu tersebut sebaik mungkin.

“Jika dilihat sebelum ini pun kami menerima jika waktu operasi dipendekkan sebab waktu operasi sehingga pukul 2 pagi bukan kami yang minta secara peribadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, peniaga tidak boleh terlalu fokus untuk menjana pendapatan dalam keadaan sekarang sebab mereka juga perlu memikirkan cara untuk memutuskan rangkaian Covid-19.

Semalam, akhbar ini melaporkan kebenaran beroperasi sehingga pukul 2 pagi bagi kedai serbaneka dan restoran antara aspek yang perlu dikaji semula selepas semua negeri mencatatkan kes baharu Covid-19 terutamanya di Sabah.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof. Datuk Dr. M. Subramaniam mancadangkan agar kerajaan memendekkan operasi sehingga pukul 12 tengah malam untuk premis terbabit seperti yang dilakukan sebelum ini sekiranya kes terus mencatatkan peningkatan dalam tempoh beberapa hari.

Katanya, langkah bersifat sementara itu wajar dan perlu diambil segera bagi mengelakkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak semakin berkembang.

Kes jangkitan Covid-19 tidak memberikan gambaran positif malah keadaan bertambah buruk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berakhir 26 September lalu akibat pergerakan ke luar dan masuk antara negeri sehingga merebak ke Semenanjung Malaysia.

Terkini, Sarawak mengambil langkah tegas dengan melarang semua warganegara dan bukan warganegara yang berada di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan masuk ke Wilayah berkenaan bermula esok hingga 18 Oktober ini.

Bagaimanapun, rakyat Sarawak yang berada di kedua-dua wilayah berkenaan dibenarkan pulang ke negeri asal namun perlu mengemukakan permohonan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan secara dalam talian.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMA), P. Muthusamy Thirumeni pula tidak menyangkal dengan pemendekan tempoh operasi berkenaan akan menjejaskan pendapatan pengusaha, namun, kesihatan lebih penting daripada segalanya.

“Saya tidak menafikan aktiviti pengusaha akan terjejas kerana terpaksa bekerja dalam waktu yang singkat dan jumlah pelanggan yang terhad namun nyawa lebih penting.

“Jika kerajaan merasakan dengan mengurangkan tempoh operasi ini dapat mengawal wabak semakin berkembang, maka saya mengalu-alukan cadangan itu,” katanya.

Pun begitu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpendapat waktu operasi premis berkenaan bukan satu masalah dalam mengekang Covid-19.

Hal ini kerana, katanya, tidak kira sama ada waktu operasi dipendekkan atau dilanjutkan ia bukanlah satu masalah kerana pemahaman terhadap prosedur operasi standard (SOP) lebih penting.

“Selewat atau seawal mana pun waktu kedai dan restoran beroperasi tidak menjadi masalah kerana beza masa tidak akan membawa perubahan. Bagi saya kefahaman terhadap SOP ini yang membawa perbezaan. Kalau waktu beroperasi sekejap dan tidak ikut SOP, sama sahaja boleh kena jangkitan juga,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN