Rais syor PM menghadap Agong semula cadang darurat sekali lagi - Utusan Malaysia

Rais syor PM menghadap Agong semula cadang darurat sekali lagi

rais
RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan darurat di kawasan terlibat kes Covid-19 boleh dicadangkan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak dicampur-aduk dengan kemelut politik dalam negara.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang juga pakar Perlembagaan berkata, sangat mustahak untuk seluruh rakyat menghormati keputusan Seri Paduka yang menolak cadangan pelaksanaan darurat tetapi penting juga untuk mengasingkan antara isu kesihatan dan politik.
“Dengan keadaan pandemik Covid-19 yang meningkat serta situasi ekonomi rakyat yang terhimpit, amat wajar kiranya pihak berkuasa menyembah jelaskan kepada Seri Paduka sekali lagi agar menerima apa-apa fakta tambahan daripada pihak berkuasa.
“Rakyat harus menghormati titah Seri Paduka tempoh hari, bagaimanapun kehendak Perkara 40 itu perlu dipatuhi walaupun bersyarat. Moga langkah-langkah wajar kerajaan dalam konteks pentadbiran darurat tidak disalahertikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Rais menerima pelbagai komen di laman media sosialnya selepas menghantar satu ciapan mengatakan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan telah dicabul dan diketepikan selepas menerima keputusan penolakkan pelaksanaan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Rais mahu politik diketepikan dalam mencadangkan perintah darurat dan sepatutnya memberi fokus kepada kesihatan serta keselamatan awam yang menjadi ancaman kepada rakyat.
“Amat baik kiranya perdana menteri, ketua pengarah kesihatan, peguam negara, ketua polis negara, ketua angkatan tentera dan lain-lain menjurus hanya pada wabak Covid-19 dan risiko kesihatan awam dan tidak melimpah ke seluruh negara.
Selain itu, beliau yang pernah bekerja dengan enam perdana menteri turut menjelaskan Perkara 40 bukan boleh diubah kandungannya mengikut pemahaman individu kerana isi kandungannya amat jelas.
“Perkara 40 ialah tonggak amali Raja Berperlembagaan, justeru penentuannya adalah nasihat Kabinet Kerajaan hendaklah diterima dan dipatuhi. Bahasa Per 40(1A) sangat tegas dan jelas. Justeru, menjadi mandatori.
“Perkara 40(1A) dikuatkuasakan semenjak krisis Perlembagaan 1993 lagi. Bahasanya “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu” cukup jelas dan teratur tanpa perlu interpretasi yang bukan bukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN