PRK Batu Sapi tidak dibatalkan - Utusan Malaysia

PRK Batu Sapi tidak dibatalkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang akan diadakan pada 5 Disember ini akan tetap diteruskan biarpun kes positif Covid-19 terus meningkat sehingga tarikh itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak ada kuasa untuk membatalkan atau menangguhkan pelaksanaan PRK itu kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, kerajaan amat prihatin dengan kegelisahan rakyat terutama penduduk kawasan itu untuk keluar mengundi termasuk petugas pilihan raya dalam tempoh pandemik itu.

Justeru, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dipanggil esok atau lusa bagi membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam pelaksanaan PRK berkenaan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

“Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan apabila kekosongan satu-satu kerusi sama ada pembubaran dewan undangan negeri (DUN) atau kematian, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Jadi ini bukan kuasa kerajaan untuk menentukan sama ada diteruskan atau tidak (PRK Batu Sapi) dan ia wajib dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri ketika ini. 

Menurut beliau, kebenaran itu adalah sama seperti yang diamalkan ketika PKPB seluruh negara Mei lalu dengan syarat membuat permohonan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berbuat demikian.

“Prosedur operasi standard (SOP) ini telah diperkenalkan pada Mei lalu. Tetapi sebelum merentas negeri atau daerah perlu berjumpa pihak polis dan memaklumkan tujuan dan bukti-buktinya. SOP lain berkaitan PKPB boleh dirujuk di laman sesawang MKN,” katanya. 

Ismail Sabri turut memberitahu, pengecualian caj RM1 di semua rangkaian mesin juruwang automatik (ATM) MEPS masih dikekalkan sehingga diberitahu oleh Kementerian Kewangan. 

Katanya, setakat ini tiada perbincangan dan permohonan dibuat dengan pihak bank bagi mengubah pelaksanaan itu dan pengecualian itu akan diteruskan.

“Pengecualian ini masih diteruskan dan bilakah ia akan ditamat adalah diputuskan Kementerian Kewangan. Jadi berdoalah faedah ini dilanjutkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya