Penunggang motosikal nyaris dihempap pokok tumbang - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal nyaris dihempap pokok tumbang

SEORANG penungggang motosikal yang melalui Jalan Persiaran Raya di sini terselamat daripada dihempap pokok tumbang, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang penunggang motosikal nyaris dihempap pokok tumbang ketika melalui hadapan lot kedai di Jalan Persiaran Raya, di sini, pagi ini. 

Pokok jati sebesar pemeluk berusia kira-kira 100 tahun itu tiba-tiba tumbang dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Kejadian itu turut merosakkan sebuah daripada 10 motosikal milik pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, yang diletakkan di kawasan itu.

Seorang pengguna jalan itu, Mohd. Ramzi Ahmad Rosli, 40, berkata, dia yang turut melalui jalan itu terselamat apabila berjaya melepasi pokok sebelum pokok itu tumbang.

Katanya, dia terkejut selepas terdengar bunyi laungan orang ramai dan melihat pokok besar senget dan tumbang.

“Saya terdengar laungan orang ramai menyatakan ‘lari cepat’ sebelum pokok itu tumbang atas deretan motosikal yang diletakkan di kawasan itu. 

“Saya bersyukur apabila terselamat dan berjaya melepasi kawasan pokok tumbang itu,” katanya.

Seorang peniaga, Ab. Ghani Yusoff, 52, berkata, pokok jati yang besar itu memang sudah lama berada di kawasan tepi jalan berkenaan. 

Katanya, pokok itu dipercayai tumbang disebabkan kerja-kerja menggali tanah berhampiran batang pokok itu untuk tujuan pemasangan paip air. 

“Kami bernasib baik apabila pokok itu tidak menghempap bangunan kedai dan meragut nyawa pengguna jalan raya.

“Ketika ini kerja pembersihan pokok tumbang giat dilakukan dan kenderaan orang awam tidak dapat melalui kawasan itu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.