KUALA LUMPUR : Tiga buah penjara yang penghuninya menyumbang terhadap peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini dipercayai menghadapi masalah kapasiti berlebihan dan memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Ekoran itu, langkah drastik mewartakan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai pusat tahanan sementara adalah tepat dalam mengekang penularan Covid-19.
Tiga penjara terlibat ialah Penjara Alor Setar, Tawau dan Pokok Sena.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, sebanyak 6,463 penghuni ditempatkan di tiga penjara tersebut iaitu 3,263 banduan berada di Penjara Pokok Sena diikuti Penjara Alor Setar (1,800) dan Penjara Tawau (1,400).
“Beberapa perkara masih diteliti untuk menjadikan kem PLKN sebagai pusat tahanan sementara termasuk mengenal pasti kem yang mempunyai kemudahan lengkap termasuk dari segi keselamatan. Salah satu kem terlibat ialah di Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, perpindahan penghuni terlibat perlu dilaksanakan segera memandangkan sebanyak 1,078 banduan dilaporkan positif di tiga penjara berkenaan dalam tempoh 18 Mac lalu sehingga semalam.
Menurut sumber, sebagai langkah segera kira-kira 3,000 daripada 11,018 banduan yang hukuman mereka kurang dari satu tahun dan baki hukumannya kurang tiga bulan, disasarkan untuk diberi Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
“Meskipun mereka diberikan PBSL, pemantauan yang ketat masih dilakukan Jabatan Penjara dan banduan terlibat hanya dibenarkan untuk tinggal atau berada di kawasan atau tempat kerja yang ditetapkan. Langkah ini juga boleh membantu mengurangkan kesesakan di penjara terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dalam satu kenyataan malam semalam memberitahu, jumlah aktif Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara di seluruh negara bertambah dari 673 kes sebelum ini kepada 1,126 kes dan jumlah tersebut menunjukkan pertambahan 453 kes dalam masa sehari.
Zulkifli berkata, pihaknya telah mengambil segala langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak tersebut dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara.
Dalam pada itu katanya, bagi memperketatkan SOP di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.
“Pesalah kes dadah di bawah seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan daripada penjara dan ditempatkan di beberapa kem PLKN yang diwartakan sebagai penjara
sementara yang jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 orang banduan.
“Selain, Pelaksanaan PBSL ke atas sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang tiga bulan yang mana berdasarkan statistik Jabatan Penjara sehingga Isnin lalu, terdapat 11,018 banduan yang layak untuk dipertimbangkan bagi PBSL.
“Semua banduan yang dibebaskan melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan lulus saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan terlebih dahulu,” katanya.
Sehubungan itu, Zulkifli menyeru orang awam di luar penjara untuk bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan hanya melibatkan kawasan larangan penjara yang tertutup serta dikawal ketat. – UTUSAN










