KUALA LUMPUR: Seorang pemuda lelaki Bangladesh cedera ditikam warga Myanmar dalam kejadian amuk di sebuah kedai di Jalan Ipoh di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.20 petang itu, mangsa berusia 25 tahun cedera di bahu kiri akibat ditikam menggunakan pisau.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang berusia 20 tahun mengambil basikal milik seorang kanak-kanak di premis terbabit.
“Mangsa kemudian menahan suspek namun suspek beredar. Tidak lama kemudian suspek datang semula membawa pisau.
“Suspek kemudian menikam mangsa di bahagian kiri bahu mengakibatkan mangsa cedera,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arifai memberitahu, suspek bertindak agresif dengan merosakkan barang-barang di dalam premis berkenaan.
“Mangsa bersama rakan sekerjanya berjaya menangkap suspek sebelum menghubungi polis.
“Suspek juga mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan semasa tangkapan awam dibuat. Kedua-dua individu berkenaan kemudian dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Selayang,” jelasnya.
Tambah Arifai, pihaknya merampas sebilah pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Kes disiasat mengikut seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan permohonan reman di Mahkamah Majistret Selayang hari ini,”katanya. – UTUSAN ONLINE










