KUALA LUMPUR : Pengisytiharan darurat jika diisytiharkan hanya akan menyerlahkan sikap diktator dan autoritarian kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah pelaksanaan itu juga menunjukkan kerajaan tidak mampu menangani krisis penularan Covid-19 dan dilihat bertentangan dengan tindakan negara Asia lain yang memberi keutamaan kepada sektor ekonomi.
Katanya, pemerintah juga gagal menunjukkan kepemimpinan yang kukuh dalam menangani krisis ini sebaliknya menggunakan cara yang tidak demokratik untuk terus berkuasa.
“Darurat hanya dikenakan apabila ada ancaman kepada keselamatan negara.Tetapi apabila pemerintah sendiri menjadi ancaman, maka darurat tidak lebih kepada amalan diktator dan autoritarian
“Pemerintahan hari ini yang tahu kegagalan menunjukkan sokongan majoriti di Parlimen, menggunakan krisis Covid-19 sebagai alasan untuk menyalahgunakan kuasa,” katanya.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Mohamed Fadzil berkata, mengumumkan darurat dan membuat rombakan Kabinet pada ketika semua pihak memerangi pandemik Covid-19 akan mengundang kemarahan rakyat.
Menurutnya, ia akan memperlihatkan yang ahli politik hanya mementingkan diri sendiri daripada memikirkan kepentingan rakyat.
“Mengumumkan darurat pada waktu kini adalah tidak wajar jika dibaca bersama isu gencatan politik. Sudah pasti rakyat akan marah. Ia akan menampakkan satu keadaan yang tidak sensitif terhadap rakyat,” katanya.
Bagi Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, memerangi Covid-19 tiada kaitan dengan pengumuman darurat dan rombakan Kabinet yang hanya menguntungkan pihak tertentu.
“Darurat hanya untuk memenuhi kehendak politik golongan-golongan terbabit. Tiada kena mengena dengan isu tangani Covid 19. Ini bala dan kecelakaan yang dibawa Langkah Sheraton Azmin dan Muhyiddin.
“Muhyiddin kelihatan sibuk berpolitik nak selamatkan jawatan dan kedudukannya dan Azmin. Sambil itu menasihati orang lain supaya jangan berpolitik,” katanya.
Dalam hal ini, jelas Khalid, Muhyiddin akan gagal kerana hanya fokus untuk menjaga kedudukan sebagai Perdana Menteri sekali gus akan membawa keburukan terhadap negara. – UTUSAN










