JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin digesa tidak tunduk dengan sebarang tekanan UMNO yang dilihat cuba ‘mengugut’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan mengemukakan syarat baharu kerjasama politik.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, walaupun perkara itu masih samar-samar, Perdana Menteri perlu tegas dalam menyatakan pendirian berhubung tuntutan yang dibuat UMNO.
“Dalam soal ini, beliau tidak boleh berseorangan dalam membuat keputusan, beliau mesti membawa perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk diperhalusi sebelum sama ada diterima atau sebaliknya.
“Jangan terburu-buru buat keputusan, bawa perkara ini secara musyawarah bersama pemimpin Bersatu lain termasuk di peringkat negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas perkembangan politik semasa termasuk keputusan Biro Politik UMNO terhadap sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Ketika ditanya kemungkinan bakal berlaku seandainya UMNO menarik sokongan kepada PN, Osman berkata, terserah kepada kebijaksanaan Muhyiddin menentukan hala tuju seterusnya dengan mengambil kira situasi Covid-19.
“Kalau nak buat pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), memang tidak sesuai sebab kes semakin meningkat. Jadi saya rasa Perdana Menteri akan melihat perkara ini dengan mengambil pandangan semua pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.
Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam berkata, tindakan UMNO itu hanyalah semata-mata mendesak Perdana Menteri agar PRU-15 dapat diadakan dengan secepat mungkin.
Beliau memberitahu, UMNO kini berangan untuk memegang semula kerajaan pusat termasuk jawatan Perdana Menteri sekiranya mereka menang dalam pilihan raya.
“Mereka berangan konon akan menang PRU-15, sedangkan rakyat kini marah kepada mereka kerana gagal mengawal isu Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Siapa menteri-menteri yang jaga soal Covid-19? Semuanya daripada UMNO dan sekali gus menunjukkan kegagalan mereka dalam isu pandemik ini. Tidak usahlah berangan untuk menang pilihan raya.
“Macam seperti mana PRU-14, mereka dakwa akan menang, tetapi akhirnya tersungkur juga,” katanya. – UTUSAN











