Lepas jawatan sebelum diaibkan pada pembentangan Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Lepas jawatan sebelum diaibkan pada pembentangan Belanjawan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum diaibkan pada pembentangan Belanjawan 2021 berikutan hilang sokongan daripada ahli Parlimen.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail berkata, tindakan berundur adalah lebih baik berbanding impak besar yang bakal dihadapi sekiranya gagal mendapat undian dalam belanjawan yang seolah-olah menggambarkan beliau telah digulingkan.

Katanya, langkah sama turut diambil perdana menteri terdahulu, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila berdepan situasi hilang sokongan majoriti.

“Malah, mana-mana perdana menteri di dunia pun akan melakukan perkara sama dengan melepaskan jawatan jika mengetahui hilang kepercayaan daripada ahli Parlimen.

“Kalau beliau (Muhyiddin) menyedari implikasi ini, saya rasa jalan terbaik yang harus dilakukan sekarang adalah meletakkan jawatan bagi membolehkan proses peralihan kerajaan berjalan dengan baik dan lancar,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan bakal menjadi kayu ukur sokongan ahli parlimen kepada kepemimpinan Muhyiddin.

Menurut Azmi, perkara itu juga bakal menentukan kebenaran di sebalik dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan beliau mempunyai cukup majoriti menubuhkan kerajaan.

Sementara itu, Azan berkata, Malaysia tidak memerlukan kerajaan campuran sebaliknya, kemelut politik yang melanda negara hari ini boleh diselesaikan dengan mengembalikan kerajaan yang dipilih rakyat terdahulu.

“Kita sudah memberi peluang kepada kerajaan pimpinan PN dan Muafakat Nasional (MN) tetapi keadaannya seperti yang kita tengok pada hari ini, jadi sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaiknya kita pulangkan kembali kerajaan terdahulu iaitu PH..

“Yang lebih mustahak ialah kerajaan yang dipilih rakyat dan kita kena mengambil kira pilihan yang telah dibuat rakyat pada pilihan raya lalu kerana mereka mengharapkan sebuah kerajaan yang boleh memandu negara,” katanya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya