Kerajaan NS tanggung kos pembersihan tumpahan minyak - Utusan Malaysia

Kerajaan NS tanggung kos pembersihan tumpahan minyak

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menanggung kos pembersihan susulan insiden tumpahan minyak yang berlaku di Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan, Isnin lalu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian yang menjejaskan sepanjang dua kilometer kawasan persisiran pantai Port Dickson yang merupakan tumpuan utama pelancong di negeri ini. 

“Insiden tumpahan minyak ini telah terjadi di pantai kita malangnya kerajaan negeri perlu tanggung kos tersebut kerana walaupun saya dimaklumkan kapal tersebut hanya melalui perairan negeri ini. 

“Bagaimanapun, saya berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu menanggung kos bersama. Kerja pembersihan dilaksanakan pagi ini oleh agensi kerajaan berkaitan dan mendapat kerjasama daripada SWCorp, SWM Environment dan Stesen Janakuasa Tuanku Ja’afar, Tenaga Nasional Berhad (TNB). Operasi pembersihan akan bermula pada pagi ini sehingga selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kos untuk pembersihan tumpahan minyak terbabit menggunakan khidmat syarikat swasta adalah tinggi sehubungan itu agensi kerajaan dan swasta di minta bekerjasama membersihkan perairan Port Dickson tersebut. 

“Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah (JTPPPD) Port Dickson telah diaktifkan serta merta serentak dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan daerah Alor Gajah, Melaka bagi menyelaras dan melaksanakan kerja pembersihan dan pelupusan sisa berminyak di kawasan yang terjejas,” katanya. 

Aminuddin dalam pada itu menjelaskan, kerajaan negeri akan meneliti pendekatan yang boleh diambil dengan kerjasama Jabatan Laut serta agensi lain yang berkaitan agar insiden seperti ini dapat dielakkan daripada berlaku pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan dalam kenyataan hari ini memberitahu, punca tumpahan minyak tersebut masih belum dikenal pasti dan masih dalam siasatan lanjut.

“Pasukan siasatan Jabatan Alam Sekitar JAS telah menjalankan persampelan di kawasan pantai yang tercemar dan di tengah laut. Sampel-sampel ini telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan seksyen ini memperuntukkan denda tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya