Keluarga mangsa MH17 tawar hati ikut perkembangan kes - Utusan Malaysia

Keluarga mangsa MH17 tawar hati ikut perkembangan kes

NAHAS MH17 pada Julai 2014 mengorbankan kesemua 298 penumpangnya selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT : Keluarga penumpang tragedi penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17, Hasni Hardi Parlan tawar hati untuk mengikuti perkembangan berhubung punca dan dalang sebenar nahas itu.

Menurut bapa Hasni Hardi, Parlan Mesiran, 65, dia dan keluarga kini sudah bosan dengan perkembangan itu yang dilihat tidak menunjukkan sebarang petunjuk baharu walaupun kejadian sudah enam tahun berlalu.

“Saya dan keluarga sudah tidak mengikuti perkembangan kes ini.

“Bagaimanapun bagi saya, semua yang berlaku adalah atas kehendakNya dan takdir yang maha kuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Parlan diminta mengulas mengenai hasrat Rusia baru-baru ini yang menyatakan untuk menarik diri daripada berunding dengan Belanda dan Australia berhubung insiden tersebut.

Kenyataan Rusia yang ingin menarik diri dalam rundingan merungkai dalang tragedi tersebut sekali gus menunjukkan negara itu ingin lepas tangan dan tidak mahu membantu proses siasatan.

Tindakan Rusia itu mengundang ketidakpuashatian khususnya terhadap waris mangsa yang terkorban.

Hasni Hardi antara 298 penumpang termasuk 15 anak kapal pesawat yang terkorban dalam nahas pesawat MH17.

MH17 terhempas dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur setelah ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki di Donetsk iaitu kawasan bergolak di timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN