fbpx

28 November 2020, 10:35 am

  TERKINI

Kanak-kanak enam tahun sempat salam ibu sebelum jatuh flat

MUHAMMAD Aryan Difa Danish Mohd. AzizuL, 6, maut terjatuh dari tingkat 15 kediamannya di Flat Ladang Gemilang 1, Kuala Terengganu, Terengga
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tidak menyangka huluran salam daripada anaknya menjadi kenangan terakhir bersama insan tersayang apabila kanak-kanak berusia enam itu maut terjatuh dari tingkat 15 kediaman mereka di Flat Ladang Gemilang 1 di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Muhamad Aryan Difa Danish Mohd. Azizul dikatakan terjatuh dari tingkap di ruang tamu ketika tinggal bersendirian di rumah. 

Ibunya, Nurul Amelia Ali, 34, berkata, mangsa ditingalkan seketika di rumah kerana tidur manakala dia bersama anak bongsu yang berusia empat tahun keluar membeli barang di kedai berdekatan.

Katanya, kejadian itu hanya disedari semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dihubungi suaminya, Mohd. Azizul Mohamad, 35, yang ketika itu bekerja luar daerah di Dungun. 

“Suami terima panggilan daripada tuan rumah dan meminta balik segera kerana ada budak jatuh dan setibanya di pekarangan flat saya tengok orang ramai sudah berkumpul. 

“Saya tidak sangka mangsa yang terkujur kaku itu anak saya. Patutlah semasa kami berkemas rumah pagi tadi, Danish tiba-tiba bersalaman dengan saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. 

Menurut Nurul Amelia, pemeriksaan di rumah mendapati terdapat satu cermin tingkap dicabut dan diletakkan di atas sofa. 

Katanya, anak ketiganya tidak pernah melakukan perbuatan sebegitu sebelum ini dan lazimnya hanya menonton televisyen jika ditinggalkan seketika di rumah bagi membeli makanan di bawah flat mereka. 

Katanya, jenazah anaknya yang merupakan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Ladang itu akan dikebumikan di tanah perkuburan di Jalan Kenanga di Batu Buruk di sini. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. -UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR