Johor bantu 1,000 terjejas Covid-19 - Utusan Malaysia

Johor bantu 1,000 terjejas Covid-19

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Lebih 1,000 pekerja dan peniaga kategori B40 serta M40 yang diberhentikan kerja dan terjejas pendapatan akibat Covid-19 dibantu kerajaan negeri di bawah Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, golongan terjejas itu dibantu menerusi dua program iaitu Program Insan Johor Covid-19 dan Program Johor Upskilling and Reskilling.

Beliau berkata, langkah SMI dalam menganjurkan kedua-dua program berkenaan amat bertepatan dengan masa dan konteks sekarang.

“Bagi program Insan Johor Covid-19, ia menyediakan bantuan bagi membolehkan peserta menyertai dan menjalankan projek perniagaan dengan lebih aktif.  

“Matlamat utama bagi program Insan Johor Covid-19 ialah ialah membantu kumpulan sasar meningkatkan pendapatan dan taraf hidup khususnya dalam kalangan peniaga.

“Bagi pekerja yang diberhentikan kerja, Program Johor Upskilling and Reskilling merupakan langkah proaktif melalui latihan bagi meningkatkan kebolehpasaran mengikut keperluan industri semasa di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Inisiatif Unit Strategik Modal Insan dan Pelancaran Buku Panduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Hasni berkata, fasa pertama program Johor Upskilling and Reskilling dalam proses pelaksanaan manakala fasa kedua pula sudah dibuka untuk permohonan dan fasa ketiga pula akan dijalankan pada November ini.

“Saya berpendapat bahawa program yang dianjurkan ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha membina pembangunan modal insan Johor ke arah yang lebih holistik pasca pandemik Covid-19.

“Ianya akan lebih holistik, jika program-program dan inisiatif-inisiatif diadakan dengan berpandukan data dan kajian yang terbukti. Bukan agak-agak dan anggaran sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Johor merupakan antara lima negeri yang mencatatkan kehilangan pekerjaan sehingga 79 peratus selain Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang.

Jelasnya, golongan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 majoritinya berada dalam sektor perkilangan iaitu 37 peratus dan industri pelancongan pula sebanyak 36 peratus. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya