Jangan tinggal kereta buruk di Putrajaya  - Utusan Malaysia

Jangan tinggal kereta buruk di Putrajaya 

PETUGAS Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) mengangkat kenderaan yang tersadai ketika operasi pengalihan kenderaan tersadai (Ops Alih) di Perumahan Penjawat Awam Fasa 4C, Presint 8, Putrajaya di sini, hari ini. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Mana-mana pemilik yang membiarkan kenderaannya tersadai di kawasan kuarters kerajaan di Putrajaya bakal berdepan tindakan denda, malah, kenderaan mereka akan ditunda.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, kenderaan tersadai itu mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta di kawasan kuarters kerajaan selain mencacatkan pemandangan.

“Untuk rekod pada awal tahun ini sahaja Perbadanan Putrajaya (PPj) telah melupuskan kira-kira 80 unit kenderaan atas kesalahan meletakkan dan membiarkan kereta buruk tersadai di kuaters perumahan kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam Program Kick Off Pengalihan Kereta Tersadai Kuaters Kerajaan Di Putrajaya di Perumahan Penjawat Awam Fasa 4C, Presint 8, di sini semalam.

Hadir sama, Naib Presiden ( Perkhidmatan Bandar) PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri, Rahimi Ismail.  

Dalam operasi itu bersepadu itu, Mohd. Sallehhuddin menjelaskan, sebanyak dua kereta disita mengikut Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan yang mana pemilik akan dikenakan upah alih RM150 selain caj simpanan RM10 sehari di Depoh Kenderaan Tersadai PPj di Presint 20.

“Objektif utama operasi ini adalah untuk memastikan agar petak-petak memarkir penggunaan di kuarters dapat digunakan secara optimum oleh para penghuni dan membantu meredakan masalah kekurangan tempat letak di kawasan kuarters.  

“Operasi pada hari ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan tiada penyalahgunaan petak-petak parkir di kuarters-kuarters kerajaan di Putrajaya.  

“Selain itu, kami juga telah mengenal pasti sebanyak 17 kereta dan 50 motosikal tersadai untuk dialihkan dalam tempoh dua bulan dan jika pemilik tidak berbuat demikian BPH akan mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Mohd Sallehhuddin turut memaklumkan, pemilik kenderaan tersadai diberikan notis sebanyak tiga kali secara kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak polis bagi mendapatkan maklumat pemilik.

Pada masa sama, beliau berkata, pemilik diberikan masa selama enam bulan bagi menuntut kenderaan yang disita dengan mengemukakan dokumen dan pengenalan diri dan sekiranya tiada tuntutan, BPH akan melaksanakan proses melupus.

“Kita berharap penghuni lebih bertanggungjawab dan menghargai kemudahan yang disediakan serta tidak menyalahgunakan kemudahan itu untuk kepentingan diri sendiri,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.